Peluang tingkatkan celik kewangan

Peluang tingkatkan celik kewangan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mei – Sebagai bank yang berjiwa Brunei, BIBD menyertai Hari AMBD 2015 diadakan buat julung kalinya di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, bermula hari ini dengan hasrat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat akan peri pentingnya celik kewangan.

BIBD dalam kenyataannya di sini berkata, pegawai-pegawai perancang kewangan bertauliahnya (IFP) hadir untuk membantu orang ramai dalam membuat perancangan dan pengurusan kewangan mereka sepanjang peringkat umur masing-masing.

“Perbezaan antara perancangan kewangan Islam dengan perancangan kewangan konvensional ialah pegawai-pegawai IFP BIBD akan bersedia membantu orang ramai dalam perkara-perkara mengenai Zakat, Wasiat, Hibbah dan pengagihan harta secara Faraid, sekali gus merangkumi semua aspek kehidupan termasuk tanggungjawab sesudah meninggal dunia.

“Pasukan IFP kami juga akan turut menjalankan pemeriksaan kesihatan kewangan,” kata kenyataan itu.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, berkenan melawat petak BIBD di Pameran AMBD 2015 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas. - Gambar Muiz Matdani
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, berkenan melawat petak BIBD di Pameran AMBD 2015 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas. – Gambar Muiz Matdani
Duli Yang Teramat Mulia berkenan menandatangani lembaran kenangan untuk BIBD.
Duli Yang Teramat Mulia berkenan menandatangani lembaran kenangan untuk BIBD.

Menurut BIBD lagi, anak syarikatnya BIBD Securities juga hadir untuk menawarkan peluang kepada orang ramai memilih produk-produk pelaburan Islam seperti saham-saham BIBD, Pasaran Saham Asing, Gold Prestige dan Saham Amanah, yang bersesuaian dengan pelbagai tahap risiko setiap pelabur.

Selain itu, Pengarah Urusan BIBD, Javed Ahmad akan turut menyertai panel penceramah pada forum bertajuk “Small Enterprises: Access to Financing” di mana beliau akan memberi serba sedikit gambaran mengenai pembiayaan SME di Brunei.

Hari AMBD dengan tema Facilitating Your Financial Future, adalah amat bersesuaian dan menepati kehendak aspirasi negara ke arah mewujudkan masyarakat yang inklusif dan celik kewangan.