Peluang tunjuk bakat bola keranjang

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Julai – Pasukan-pasukan bola keranjang tempatan akan berpeluang untuk menonjolkan bakat serta merebut gelaran pasukan terbaik di negara ini apabila Persatuan Bola Keranjang Brunei (BBA) akan menganjurkan Kejohanan Tahunan Bola Keranjang Terbuka MK bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71 tahun di Gelanggang Bola Keranjang BBA, Batu Bersurat, Gadong bermula 16 Julai nanti.

Menurut BBA, kejohanan bola keranjang tahunan yang merupakan salah satu kejohanan yang dinanti-nantikan oleh peminat bola keranjang tempatan bukan sahaja bakal menyaksikan pemain-pemain tempatan beraksi tetapi juga pemain-pemain bola keranjang serantau termasuk bekas pemain-pemain dari liga bola keranjang Filipina (PBA).

Kejohanan tahunan itu ditaja oleh MK Enterprise di mana You C-1000 merupakan minuman sukan rasmi bagi kejohanan berkenaan dan dengan tajaan daripada MK Enterprise, kejohanan itu menjanjikan hadiah berjumlah $3,500 keseluruhan yang menanti para pemenang.

Menurut pihak penganjur selain daripada piala dan pingat, juara kejohanan itu akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak $2,000 manakala pasukan di tempat kedua akan membawa pulang hadiah sebanyak $1,000 dan tempat ketiga pula membawa pulang hadiah sebanyak $500.

Kejohanan Bola Keranjang MK dibukakan penyertaan kepada semua penduduk Brunei yang mempunyai kad pengenalan Brunei yang sah dan setiap pasukan hanya boleh mempunyai 2 orang pemain import.

Sehubungan itu, pihak penganjur amat mengalu-alukan pasukan-pasukan yang berminat untuk menyertai kejohanan berkenaan untuk menghantar borang penyertaan mereka sebelum tarikh tutup pada 5 Julai nanti dan borang-borang penyertaan boleh diperoleh di Gelanggang Bola Keranjang BBA.