Peluang tunjuk bakat bola keranjang

Peluang tunjuk bakat bola keranjang

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jan – Para pemain bola keranjang khususnya pemain-pemain dari sekolah-sekolah dan institut-institut pendidikan berpeluang untuk menunjukkan bakat dan kehebatan mereka dalam sukan bola keranjang melalui Kejohanan Bola Keranjang 3X3 Piala Ignition ITB yang akan berlangsung pada 30 hingga 31 Januari di Gelanggang Bola Keranjang Fitness Zone, Kiulap.

Kejohanan yang dianjurkan bersama oleh Institut Teknologi Brunei (ITB) dan 3×3 Brunei Basketball adalah bersempena dengan ulang tahun penubuhan ITB ke-30 dan kejohanan yang diadakan buat kali pertama itu adalah dibuka bagi penyertaan pelajar-pelajar dan guru-guru lelaki dari sekolah-sekolah serta institusi-institusi pendidikan untuk mewakili sekolah atau institusi pendidikan masing-masing.

Pemain-pemain yang berminat boleh membuat pendaftaran bagi menyertai kejohanan itu, jumlah penyertaan adalah terhad kepada 40 pasukan sahaja dan yuran penyertaan adalah sebanyak $60.

Juara kejohanan itu nanti akan membawa pulang hadiah wang tunai $200, piala, pingat dan sijil manakala pemenang tempat kedua pula akan membawa pulang hadiah wang tunai $150, pingat dan sijil serta pemenang tempat ketiga membawa pulang hadiah $100, pingat dan sijil. Pasukan-pasukan yang berminat boleh mendapatkan maklumat mengenai peraturan serta syarat kejohanan dan memuat turunkan borang penyertaan di https://goo.gl/7W5XYV.

Borang yang lengkap diisi hendaklah dikembalikan bersama bayaran yuran bagi Daerah Brunei Muara di Lobi Utama, ITB bermula 1 hingga 20 Januari manakala bagi Daerah Belait di Coffee Bean & Tea Leaf, Supa Save pada 15 Januari bermula pukul 3 petang hingga 8 malam dan pada 16 Januari bermula pukul 11 pagi hingga 6 petang.

Mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghantar e-mel ke, itb.bball@gmail.com.

ARTIKEL YANG SAMA