Peluang tunjuk bakat mainan siber

Peluang tunjuk bakat mainan siber

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Penggemar permainan Internet tempatan dipelawa untuk mengambil bahagian dalam permainan tersebut dan berpeluang untuk memenangi hadiah dan mewakili Negara Brunei Darussalam ke pertandingan di peringkat serantau.

Penganjur pertandingan, IT Protective Security Services Sdn Bhd (ITPSS) berkata, permainan yang diberi nama Cyber Battle: Capture The Flag akan menyaksikan 10 pasukan bertanding dalam pertandingan yang buat pertama kali seumpamanya diadakan di negara ini.

Bercakap kepada pemberita di Pejabat ITPSS di Beribi, Gadong hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif ITPSS, Awang Shamsul Bahri bin Haji Kamis berkata, pertandingan selama sehari pada 11 Oktober 2015 itu bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Katanya, pertandingan yang akan mengambil tempat di Bangunan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Brunei Darussalam itu memerlukan peserta menggunakan kepintaran mereka untuk mencari dan mengeksploitasi kelemahan yang terdapat pada pelayan permainan yang telah disediakan, memperbetulkan ciri keselamatan pelayan tersebut dan seterusnya mempertahankan bendera masing-masing.

“Pasukan yang bertanding perlu menyelesaikan cabaran yang ada seperti serangan siber berasaskan jaringan (network), serangan berasaskan laman sesawang, eksploitasi, forensik digital dan analisis paket. Manakala pemarkahan akan berdasarkan mata serangan dan mata pertahanan,” kata beliau.

(Dari kanan) Dayang Caroline Ho, Awang Shamsul Bahri, Awang Mohd Shahrul Fadillah dan Haji Mas Zuraime bergambar di hadapan poster Cyber Battle.
(Dari kanan) Dayang Caroline Ho, Awang Shamsul Bahri, Awang Mohd Shahrul Fadillah dan Haji Mas Zuraime bergambar di hadapan poster Cyber Battle.

Beliau menjelaskan, objektif utama pertandingan itu adalah untuk mengenal pasti pemain tempatan yang berbakat bagi mewakili Negara ke Pertandingan Permainan Siber SEA ASEAN-Jepun yang akan diadakan di Jakarta, Indonesia pada November 2015.

Pada persidangan akhbar yang dihadiri sama oleh Ketua BruCERT, Haji Mas Zuraime bin Haji Abdul Hamid, Penganalisis Sekuriti IT Awang Mohd Shahrul Fadilah bin Umar dan Dayang Caroline Ho dari Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran ITPSS, Awang Shamsul Bahri menjelaskan.

Di samping dapat mewakili Negara Brunei Darussalam ke Pertandingan Permainan Siber SEA di Jakarta di peringkat serantau, pelbagai hadiah juga menanti para pemenang, termasuk peranti elektronik seperti komputer riba Macbook Air, Chic Smart scooter, kamera GoPro, hadiah wang tunai serta mengikuti latihan CompTIA Security+.

Selain itu, ITPSS juga akan menyediakan latihan Capture The Flag kepada dua pasukan terbaik pertandingan itu bagi mempersiapkan mereka menghadapi pertandingan Permainan Siber SEA di Jakarta kelak.

Pertandingan Cyber Battle: Capture The Flag dibukakan kepada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang berumur 30 tahun ke bawah.

Penyertaan pertandingan itu mestilah terdiri daripada dua atau tiga orang sepasukan dan tarikh tutup pendaftaran ialah pada 2 Oktober 2015.

Mereka yang berminat untuk menyertai pertandingan atau ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Cyber Battle: Capture The Flag boleh melayari laman sesawang www.itpss.com/cyberbattle.

ARTIKEL YANG SAMA