Peluang untuk beramal

Peluang untuk beramal

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jun – Dalam bulan Ramadan yang mulia, nasib golongan yang kurang bernasib baik terus diberikan perhatian dengan pelbagai pihak bukan kerajaan dan orang ramai tampil ke hadapan untuk menghulurkan sumbangan bantuan bagi meringankan bebanan mereka.

Sehubungan itu, Kelab Rekreasi Liang Lumut (LLRC) dan Kumpulan Bantuan Kemanusiaan KatakIjau mengalu-alukan orang ramai untuk sama-sama mengambil bahagian dan menghulurkan sumbangan bagi asnaf fakir miskin Mukim Liang menerusi program LLRC Al-Musahhalat At-Tabarru’.

Melalui program itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk membuat sumbangan derma dalam bentuk makanan asasi seperti beras, gula dan kopi bermula dari 8 Jun hingga 21 Jun.

Bagi program berkenaan, terdapat tiga buah lokasi telah dikenal pasti sebagai tumpuan bagi menghantar sumbangan derma berkenaan iaitu bagi penduduk Belait yang ingin menderma, mereka boleh menghantar derma mereka di Kelab Rekreasi Liang Lumut bermula 8 Jun hingga 21 Jun dari pukul 8 pagi hingga 10:30 malam.

Sementara itu bagi penduduk Tutong, mereka boleh menghulurkan derma dengan menghantarnya kepada ahli KatakIjau di F30 Lorong 100, Kem Penanjong, Tutong pada 9 Jun, 13 Jun dan 16 Jun.

Manakala bagi penduduk Brunei Muara, mereka boleh menghantar sumbangan mereka ke Urus setia KatakIjau di Bilik 6, Urus Setia KatakIjau, Pusat Belia Bandar Seri Begawan pada 10 Jun bermula dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Semua sumbangan derma yang diperoleh akan diagih-agihkan oleh Kelab Rekreasi Liang Lumut dan Kumpulan Bantuan Kemanusiaan KatakIjau pada 26 Jun nanti kepada sebanyak 32 buah keluarga yang dikategorikan sebagai asnaf fakir miskin di Mukim Liang.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman Facebook rasmi, Kelab Rekreasi Liang Lumut, Liang Lumut Recreation Club atau laman Facebook KatakIjau, KatakIjau Fan Club.

ARTIKEL YANG SAMA