Peluang usahawan PKS

Peluang usahawan PKS

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh para usahawan perusahaan kecil dan sederhana tempatan termasuk usahawan muda akan diketengahkan semasa Promosi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) LiveWIRE Brunei ke-7 yang akan diadakan di Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC), Seria, bermula 27 hingga 29 November nanti.

Promosi PKS itu dianjurkan bersama oleh LiveWIRE Brunei, OGDC dan Jabatan Daerah Belait dengan kerjasama Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria serta majlis perundingan mukim dan kampung (MPMK) Daerah Belait.

Di samping pameran produk dan perkhidmatan PKS, acara juga diserikan dengan Larian PKS Night Run, tarik kalat, sesi forum dan dialog keusahawanan, Zumba, pertunjukan binatang peliharaan eksotik, pertunjukan kereta, Rumah Puaka dan Bazar PKS yang akan menyaksikan penyertaan daripada usahawan-usahawan daripada keempat-empat daerah dan juga penyertaan peserta-peserta Skim Pendidikan Keusahawanan Brunei (BEES).

pg03_151031_c

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk berkunjung ke pameran berkenaan yang dibuka dari pukul 10 pagi hingga 9 malam di mana mereka akan berpeluang untuk mendapatkan pelbagai produk tempatan, makanan dan minuman serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh PKS tempatan. Pendaftaran untuk menyertai bazar dan kegiatan-kegiatan yang akan diadakan sepanjang promosi itu akan dibukakan bermula 1 November dan borang penyertaan boleh didapatkan di OGDC dan Pejabat LiveWIRE pada Isnin hingga Jumaat bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Maklumat lanjut terutama jadual dan kegiatan-kegiatan yang dijalankan dapat diperoleh menerusi laman sesawang www.smepromotion.com atau OGDC dengan menghubungi talian 3377200 dan LiveWIRE di talian 2220964 atau 8714488. Acara itu merupakan salah satu program LiveWIRE Brunei untuk mempromosikan keusahawanan di Negara Brunei Darussalam dengan LiveWIRE Brunei merupakan satu inisiatif yang disokong sepenuhnya oleh Syarikat Minyak Brunei Shell.

ARTIKEL YANG SAMA