Pelukis Brunei dipelawa sertai Anugerah MANGA Antarabangsa

Pelukis Brunei dipelawa sertai Anugerah MANGA Antarabangsa

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Jawatankuasa Eksekutif Anugerah MANGA Antarabangsa Kesembilan yang dipengerusikan oleh Menteri Luar Jepun, Fumio Kishida secara rasmi memutuskan untuk mengadakan Anugerah MANGA Antarabangsa Kesepuluh.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Jepun ke Brunei Darussalam hari ini, semasa Minggu Kebudayaan dan Bahasa Jepun yang diadakan di sini dari 18 hingga 20 Mac lalu, seorang pelukis MANGA Jepun, Manaru Tenkawa telah mengendalikan Bengkel MANGA dan ramai rakyat Brunei gembira mendapat peluang untuk meningkatkan lagi kemahiran melukis MANGA mereka.

Sehubungan itu, mereka yang menyertai Bengkel MANGA amat digalakkan untuk memohon menyertai anugerah tersebut.

Anugerah MANGA Antarabangsa merupakan satu anugerah tahunan yang diwujudkan pada bulan Mei 2007 atas inisiatif Menteri Hal Ehwal Luar pada ketika itu Taro Aso dengan matlamat sebagai tanda terima kasih kepada para pencipta MANGA yang telah menyumbang untuk menyebarkan budaya MANGA di luar negara dan pertukaran kebudayaan antarabangsa menerusi MANGA.

Menurut kenyataan itu lagi, karya MANGA yang dinilai yang terbaik di antara semua karya yang dihantar akan dianugerahkan Anugerah Emas; tiga terbaik seterusnya akan menerima Anugerah Perak.

Para penerima akan dijemput ke Jepun oleh Yayasan Jepun untuk menghadiri majlis penyampaian anugerah. Ketika mereka berada di Jepun, mereka akan juga berpeluang bertukar-tukar pendapat dengan pencipta-pencipta MANGA dan juga melawat syarikat-syarikat penerbitan MANGA dan tempat-tempat berkaitan.

Tempoh permohonan penyertaan anugerah ialah dari 1 April hingga 7 Jun 2016. Permohonan hendaklah dihantar ke Kedutaan Jepun di Brunei Darussalam atau dihantar ke P.O.Box Tenth International MANGA Award. Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan melayari laman sesawang rasmi www.manga-award.jp/

ARTIKEL YANG SAMA