Pelumba Brunei menyinar di KKCR

Pelumba Brunei menyinar di KKCR

Oleh Dr Fahmi Ibrahim

Gambar oleh Philip Cheng

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Nov – Pelumba-pelumba Brunei meneruskan kecemerlangan dalam sukan lumba basikal apabila menjuarai beberapa kategori utama yang dipertandingkan di Kota Kinabalu Century Race 2016 (KKCR), semalam.

Perlumbaan sejauh 120 km menyaksikan Luqman Hazdid (G530 Racing Team) menjuarai Kategori Elite setelah menewaskan pelumba-pelumba daripada Filipina dan Malaysia.

Luqman juara Cabaran Basikal Lof (LCC) 2016 tiga minggu lepas membuktikan dia mampu mencapai kemenangan di perlumbaan luar antarabangsa.

Berpengalaman berkayuh untuk pasukan kebangsaan Brunei Darussalam, Luqman menggunakan kemahiran dan kecergasan yang dimiliki untuk menempatkannya di kelompok depan dan seterusnya membuat henjutan terakhir di garisan penamat.

“Saya amat gembira dengan kemenangan ini kerana membuktikan saya bukan jaguhan kampung yang hanya boleh menang di tempat sendiri,” kata Luqman, graduan Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang membuat keputusan pada saat akhir untuk menyertai perlumbaan tersebut disebabkan komitmen pekerjaan.

Pelumba-pelumba dari Brunei bergambar bersama hadiah masing-masing di podium; Billy Chen, Luqman, Reduan, Hardy, Amir dan Christina Fah.
Pelumba-pelumba dari Brunei bergambar bersama hadiah masing-masing di podium; Billy Chen, Luqman, Reduan, Hardy, Amir dan Christina Fah.
Luqman Hazdid yang menjuarai Kategori Elite.
Luqman Hazdid yang menjuarai Kategori Elite.

Reduan Yusof (Belait Cycling Club) pula mendapat tempat kelima dalam kategori tersebut, manakala Shahnon Basman mendapat tempat ketujuh kategori Master.

Kemenangan itu, sedikit sebanyak dapat mengubat kekecewaan Luqman yang tidak mendapat keputusan yang baik pada perlumbaan Kota Kinabalu City Cycling Challenge, Ogos lalu.

Shahnon mengulas laluan perlumbaan kali ini amat mencabar dan sukar kerana terpaksa menempuh laluan bergunung. Billy Chen (Team 673 Nikon) residen di Brunei, juga meneruskan aksi hebat daripada Cabaran Basikal Lof (LCC) 2016 yang menjuarai kategori Master.

“Saya amat menyukai laluan berbukit dan bergunung sesuai dengan keupayaan dan kelebihan saya miliki,” ujar Billy.

Beliau yang menjalani latihan sambil bercuti selama dua minggu di kawasan pergunungan Taiwan nyata membuahkan hasil.

Dalam kategori Junior (95 km), Amirruddin Amir (G530 Racing Team) telah menjuarai perlumbaan tersebut. Beliau yang merupakan bakat remaja pasukan kebangsaan antara pelumba yang amat komited dan berdedikasi dalam menjalani latihan.

Hardy Morsidi (Belait Cyling Club) pula menjuarai kategori Mountain Bike Elite (95 km).

Beliau yang beralih arah ke MTB daripada acara lebuh raya tidak kekok untuk menguasai perlumbaan dengan melakukan pecutan pemisah daripada kilometer ke 30.

Ia berakhir dengan pecutan yang ditentang hebat oleh Shahrin Amir pelumba MTB kebangsaan Malaysia.

Rihan Aziz pula (Belait Cycling Club) berjaya mendapat tempat kelima. Di samping itu pelumba wanita tidak asing lagi dari Brunei Christina Fah (Team 673 Nikon) menjuarai kategori Wanita Mountain Bike (90 km).

Pegawai Brunei Darussalam Cycling Federation, Omar Ali yang dihubungi amat gembira dengan pencapaian pelumba-pelumba dari Brunei yang mewakili pelbagai pasukan.

“Saya amat berpuas hati dan berbangga dengan keputusan yang memberangsangkan ini. Ini menunjukkan latihan yang berterusan dan penyertaan banyak perlumbaan membantu meningkatkan prestasi pelumba.

“Saya berharap kami dapat menganjurkan lagi banyak perlumbaan. Dengan adanya program Bandarku Ceria dan berbagai acara basikal pada peringkat akar umbi oleh berbagai pihak, saya percaya sukan basikal akan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak dan mampu melahirkan juara di peringkat antarabangsa,” komen beliau.

Jurulatih pasukan kebangsaan, Yafiz Jamaludidin juga amat gembira dengan pencapaian anak didiknya.

“Negara kitani memang mempunyai pelumba yang bagus jika diberi peluang, sokongan dan kemudahan,” katanya yang sudah melakar perancangan persiapan Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

KKCR 2016 yang berjaya menarik lebih 500 penyertaan memberikan kenangan manis dan pengalaman berharga kepada pasukan-pasukan daripada Brunei seperti G530 Racing Team, Belait Cycling Club, 673 Team Nikon, Kedayan Cycling Team (KCT), Awang Tum Tum Cycling Team, Tungku Rimba (TKR) Cycling Team dan Bruwan.

Kebanyakan pelumba-pelumba akan berehat seketika sebelum kembali menjalani latihan keras dan tumpuan kepada perlumbaan Brunei Classic sebagai pembuka tirai kalendar perlumbaan tahun 2017 yang dijadualkan berlangsung pada 8 Januari 2017.

ARTIKEL YANG SAMA