Pelumba Iran ungguli peringkat pertama JM2016

Pelumba Iran ungguli peringkat pertama JM2016

IPOH, 18 Okt – Cuaca panas dan kesuntukan masa untuk melakukan latihan penyesuaian tidak menghalang pelumba Iran, Rahim Emami, mengungguli peringkat pertama perlumbaan berbasikal Jelajah Malaysia 2016 (JM2016) hari ini.

Pada perlumbaan sejauh 206.5km itu, pelumba pasukan Pishgaman Giant berusia 34 tahun itu menamatkan saingan dengan catatan masa terpantas empat jam 44 minit dan lima saat, bermula dari Dataran Merdeka, Kuala Lumpur ke Medan Meru Bestari di sini.

Rahim mengetepikan dua pencabar terdekat dari Filipina, Rustom Lim dan Edgar Nohales Nieto daripada pasukan 7 Eleven Save RBP Filipina, yang merakamkan catatan sama 4’44.23s.

Bagaimanapun, Rustom menang tempat kedua melalui ‘photo finish’.

Kemenangan tersebut juga menyaksikan Rahim menggondol jersi jersi kuning, selaku pendahulu keseluruhan serta jersi biru (Raja Pecut) selepas mengumpul 15 mata dalam tiga zon pecutan di Serendah, Bidor dan Kampar.

Pelumba Pishgaman Giant Team Rahim Emami (kiri) menyarung jersi kuning sebagai pendahulu kejuaraan selepas berjaya mengungguli peringkat pertama Jelajah Malaysia 2016 meliputi perjalanan sejauh 206.5 kilometer, yang bermula dari Kuala Lumpur ke Ipoh kelmarin. Beliau juga berjaya mengungguli jersi biru selaku raja pecut. – Bernama
Pelumba Pishgaman Giant Team Rahim Emami (kiri) menyarung jersi kuning sebagai pendahulu kejuaraan selepas berjaya mengungguli peringkat pertama Jelajah Malaysia 2016 meliputi perjalanan sejauh 206.5 kilometer, yang bermula dari Kuala Lumpur ke Ipoh kelmarin. Beliau juga berjaya mengungguli jersi biru selaku raja pecut. – Bernama

Bercakap selepas majlis penyampaian hadiah, Rahim berkata beliau gembira merangkul kejuaraan peringkat peringkat walaupun terpaksa bertarung dalam keadaan cuaca panas terik.

“Saya teruja dengan kemenangan ini walaupun pasukan saya tiba di Malaysia pada pukul 2 petang semalam dan tidak mempunyai masa untuk melakukan persediaan terakhir.

“Bagaimanapun, perlumbaan hari ini agak sukar kerana jarak yang jauh. Perlumbaan peringkat kedua esok melibatkan dua zon pendakian dan saya pasti pelumba kami dapat mencapai keputusan positif memandangkan kebanyakan pelumba mahir dalam zon pendakian,” kata Rahim melalui jurubahasa.

Dalam pada itu, pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Amirul Fakhruddin Marzuki menyifatkan kejayaan memenangi jersi Merah selaku pelumba terbaik Malaysia merupakan satu bonus memandangkan beliau tidak meletakkan sebarang sasaran.

Beliau muncul pelumba terbaik Malaysia setelah menduduki tangga keempat. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA