Pelumba jetski mati lemas

Pelumba jetski mati lemas

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mac – Seorang peserta perlumbaan jetski berusia 30 tahun, mati lemas dalam kejadian yang tidak diduga di Pantai Serasa tengah hari ini.

Pasukan Bomba dan Penyelamat dalam satu kenyataan berkata, mereka menerima panggilan daripada penganjur kejohanan kira-kira jam 12:13 memaklumkan bahawa seorang peserta perlumbaan hilang di kawasan Pelumpong dan segera melancarkan gerakan mencari dan menyelamat dengan diketuai oleh ASO Haji Roslan bin Bakir.

Menurut bomba, pada jam 12:36 jetski mangsa dijumpai dalam keadaan terdampar di kawasan Pelumpong.

Anggota penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama urusetia perlumbaan meneruskan gerakan mencari dan menemui mangsa dalam keadaan tersepit di celah-celah batu di kawasan perairan tersebut kira-kira jam 12:54 tengah hari.

Sebaik sahaja berjaya dikeluarkan, mangsa yang mengalami beberapa kecederaan segera dikejarkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan disahkan meninggal dunia.

Suasana panik dan pilu di Pantai Serasa selepas tragedi berkenaan.
Suasana panik dan pilu di Pantai Serasa selepas tragedi berkenaan.

Sementara itu jurucakap polis ketika dihubungi berkata, Balai Polis Muara menerima panggilan Kecemasan Polis 993 pada jam 1:34 petang mengenai kejadian tersebut.

Katanya, mayat mangsa ditemui oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat di Pelumpong, Muara. Punca kematian masih dalam siasatan dan tidak sebarang unsur jenayah dilaporkan.

Sementara itu, penganjur kejohanan, Brunei Jetski dalam kenyataannya malam ini berkata, pada akhir kejohanan hari ini, mereka mendapati salah seorang peserta telah tidak muncul walaupun sebelum itu mangsa telah menghubungi penganjur memaklumkan bahawa jetskinya mengalami masalah dan terkandas di Pulau Pelumpong.

“Ia merupakan satu kejadian lemas. Keadaan berangin di kawasan pantai menyebabkan berlaku ombak besar,” kata penganjur sambil menjelaskan bahawa mangsa tidak terlibat dalam sebarang perlanggaran jetski sebagaimana yang disebarkan dalam media-media sosial.