Pelumba Kenya dominasi Maraton Jambatan Pulau Pinang

Pelumba Kenya dominasi Maraton Jambatan Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 22 Nov (Bernama) – Pelumba Kenya mendominasi larian maraton antarabangsa Jambatan Pulau Pinang, Asics Penang Bridge International Marathon (APBIM) 2015, apabila menyapu bersih tempat pertama hingga ketiga dalam kategori maraton penuh lelaki terbuka dan wanita terbuka.

Julius Kiprotich Seurei muncul juara kategori lelaki terbuka dengan catatan masa dua jam 22 minit diikuti Barnaba Sigei (2’23:38s) dan Julius Kimtai Rotich (2’25:15s) masing-masing tempat kedua dan ketiga.

Julius, 28, yang menyertai APBIM 2015 untuk kali pertama berkata beliau gembira kerana memenangi acara ini walaupun ia adalah penyertaan pertamanya.

“Saya telah mempersiapkan diri dengan menyertai beberapa kejohanan lain termasuk di Indonesia dan Kenya serta menjalani latihan sejak tiga bulan lepas dengan berlari tiga jam sehari untuk acara ini dan hasilnya amat baik.

“Kemenangan ini akan mendorong saya untuk menyertai acara ini sekali lagi tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah di sini hari ini.

Hadiah disampaikan oleh Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas. Bagi kategori maraton penuh wanita terbuka, Fridah Jepkite Lodepa Too muncul juara dengan catatan masa dua jam 47 minit mengatasi Monica Watetu Ndiritu (2’51:47s) dan Edinah Koech (2’56:27s) masing-masing tempat kedua dan ketiga.

Fridah, 33, yang menyertai APBIM 2015 kali kedua selepas yang pertama pada 2012 berkata beliau tidak menyangka akan memenangi perlumbaan pada edisi ini kerana ramai peserta yang hebat dan terbaik turut menyertainya.

ARTIKEL YANG SAMA