Pemain Australia tuntut bayaran lebih tinggi

Pemain Australia tuntut bayaran lebih tinggi

SYDNEY, 24 Jun (AFP) – Pemain bola sepak wanita Australia harus ditawarkan keadaan yang lebih menarik termasuk yuran perlawanan yang lebih tinggi, kesatuan berkata hari ini selepas pasukan itu berjaya menyingkirkan Brazil daripada Piala Dunia untuk mara ke suku akhir.

Pasukan kebangsaan wanita, The Matildas hanya dibayar Aus$750 (AS$581) seorang di bawah kontrak semasa apabila menentang juara bertahan Jepun di Edmonton Sabtu ini bagi merebut tempat ke separuh akhir.

Sebaliknya, rakan-rakan lelaki mereka dibayar Aus$8,500 seorang ketika bermain di peringkat suku akhir kejohanan sama tidak termasuk bonus, menurut perjanjian berasingan.

“Apa yang kita lihat Matildas pada masa ini ialah ramai daripada mereka menggabungkan komitmen bermain dengan kerja sambilan dan ada juga cuba mengimbanginya dengan masa belajar,” kata jurucakap Pesatuan Pemain Bola Sepak Profesional Australia.

“(Tetapi) Komitmen Matildas sepenuh masa. Mereka telah berada di kem selama 120 hari sejak enam bulan yang lalu dan berada jauh daripada keluarga supaya dapat mengimbangi komitmen dengan apa jua jenis pekerjaan adalah sesuatu amat sukar.”

Jurucakap berkata kesatuan itu – yang sedang berunding dengan badan pentadbir Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) memandangkan perjanjian semasa Matildas tamat Julai ini – memaksa pemain untuk ‘menerima apa yang adil dan saksama daripada hasil’ rundingan walaupun tidak mungkin mendapat kesaksamaan seperti gaji pemain lelaki.

Beliau juga menambah, menyediakan lebih banyak ‘terma dan syarat-syarat yang menarik’ termasuk yuran perlawanan, urusan perjalanan dan penginapan – adalah perlu untuk menjaga atlet agar cergas dalam permainan dan menyediakan laluan kerjaya yang berdaya maju.

The Matildas, yang bermain dengan kontrak minimum tahunan sebanyak Aus$21,000, telah dibayar Aus$500 seorang untuk setiap perlawanan kumpulan Piala Dunia mereka dan akan mendapatkan Aus$1,500 jika berjaya melangkah ke final.

Socceroos – pasukan kebangsaan lelaki yang memenangi Piala Asia di Sydney awal tahun ini – dibayar Aus$7,500 setiap seorang untuk setiap aksi peringkat kumpulan untuk kejohanan utama dengan yuran meningkat kepada Aus$11,500 untuk final. Mereka tidak diberi gaji asas tetapi menerima bayaran komersial dan bonus tajaan yang jauh lebih besar.

FFA berkata, ia telah membuat pelaburan besar dalam persiapan Piala Dunia Matildas dan berusaha keras untuk mendapatkan lebih banyak penajaan.

“FFA sedang berusaha keras untuk mengatasi cabaran dalam mendapatkan rakan kongsi komersial untuk bola sepak wanita di samping komitmen dari (gergasi pusat membeli-belah) Westfield yang menyokong W-League dan Matildas,” kata satu kenyataan.

“Keputusan di Kanada dan cara pemain mengendalikan diri boleh membantu dalam mendapatkan sokongan komersial bagi memacu pertumbuhan yang lebih ketara dalam perbelanjaan.”

Media China pada Isnin berkata, pasukan bola sepak wanita mereka akan menerima bonus ‘tertinggi’ kira-kira satu juta yuan (AS$160,000) sebagai ganjaran kerana mencecah suku akhir Piala Dunia.

Kebanyakan pemain pasukan kebangsaan hanya mendapat kira-kira 3,000 yuan (AS$485) sebulan dalam satu jumlah di bawah purata pendapatan negara 4100 yuan, kata Xinhua.