Pemain DPMM FC terpaksa akur

Pemain DPMM FC terpaksa akur

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Feb – Tiga pemain DPMM FC terpaksa akur berada di bangku simpanan apabila mereka tidak berjaya menamatkan larian dalam masa yang ditetapkan semasa ujian kecergasan dalam merebut Piala Comunity Shield menentang Albirex Niigata (S) di Jalan Besar Singapura 13 Februari 2016 ini nanti.

Menurut Ketua Jurulatih DPMM FC, Steve Kean (gambar) ketika ditemui semasa sesi ujian kecergasan di Mini Stadium Jerudong, hari ini menyatakan bahawa Awang Aminuddin Zakwan bin Mohd Tahir terpaksa diberikan perhatian medik ekoran berada dalam keadaan kurang sihat.

“Untuk kali ini beliau berada dalam kedudukan yang sedikit sukar terutama pada pra musim kali ini bersama dua rakan lain antaranya Awang Mohd Amalul Ariffin Shah Said dan Awang Mohd Hendra Azam Mohd Idros,” ujarnya kepada Media Permata.

Menurut Steve Kean, Awang Mohd Amalul berada sedikit di belakang masa yang ditetapkan, sementara Awang Azam pula berhadapan kes kekejangan belakang dan kini memerlukan rehat yang secukupnya.

pg24_160211_a

Apabila ditanya mengenai had atau kekerapan membuat ujian ini, katanya semua pemain boleh membuat beberapa kali ujian kecergasan ini namun mereka hanya boleh bermain sehingga mereka lulus ujian kecergasan sahaja.

“Ia adalah ujian yang rumit kerana pada musim lalu terdapat juga pemain Singapura yang terpaksa melalui ujian berkenaan sehingga tujuh kali dan sehingga berjaya menepati standard kecergasan yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Singapura untuk berlari sejauh 2.4 kilometer di bawah 9 minit 30 saat,” ujarnya lagi.

Mengulas lagi mengenai perkembangan ujian kecergasan hari ini katanya “Saya yakin ketiga-tiga pemain ini akan lulus dalam beberapa minggu lagi dan untuk tujuan itu mereka akan menjalani latihan larian khas meskipun terpaksa terlepas daripada mengikuti permainan pembukaan itu nanti.”

Menambah lagi, Steve Kean menegaskan ketiga-tiga pemain itu akan terlibat dengan latihan yang bertumpu kepada larian pada setiap pagi dan petang kerana ia merupakan fokus utama bagi memastikan semua pemain dalam keadaan yang cergas untuk turun ke padang.

Beliau turut mengumumkan tiga orang pemain yang baru dan bakal menyertai skuad DPMM FC tahun ini dan akan memberikan dimensi baru kepada Pasukan DPMM FC musim ini selaras dengan peraturan FAS untuk menampilkan banyak pemain tempatan berbanding pemain import.

Awang Nor Ikhwan Othman adalah antara pemain yang baru menyertai Pasukan DPMM FC, di mana beliau sebelum ini bermain dengan Pasukan Indera dan merupakan anak didik Sekolah Sukan yang menampakkan permainan yang memberangsangkan di dalam liga tempatan musim lalu.

Awang Nor Ikhwan juga tersenarai dalam skuad kebangsaan di bawah kendalian Steve kean yang menegaskan beliau adalah antara pemain muda yang mengambil masa untuk lebih matang dalam permainan berdasarkan pemerhatiannya sejak dua tahun bersama DPMM FC.

Dua lagi pemain yang akan menyertai masuk ke dalam senarai skuad utama DPMM FC ialah Ketua Pasukan skuad Bawah 19 tahun DPMM FC, Awang Muhd Azim Izamuddin bin Haji Suhaimi dan penjaga gol daripada Skuad Bawah 19 tahun DPMM FC, Awang Abdul hafiz bin Abdul Rahim.

ARTIKEL YANG SAMA