Pemain Euro 2016 belum jalani ujian darah

Pemain Euro 2016 belum jalani ujian darah

PARIS, 8 Jun – Tidak semua pemain dalam persaingan Euro 2016 akan menjalani ujian darah sebelum perlawanan pembukaan pada Jumaat ini, tetapi badan induk UEFA merancang akan melakukan ujian lebih lanjut ketika persaingan diadakan.

Pengarah anti-doping UEFA, Marc Vouillamoz semalam berkata bahawa 341 ujian darah telah dijalankan setakat ini, dengan 552 pemain dalam skuad dari 24 buah pasukan.

Pada keseluruhannya, UEFA telah menjalankan 1,278 ujian sejak Mac lalu dalam operasi anti dadah terbesar di mana ia memerlukan 1 juta euro (1.1 juta dolar).

Vouillamoz berkata UEFA akan menjalankan ujian sasaran ketika perlawanan yang bermula 10 Jun sehingga 10 Julai ke atas mereka yang belum menghantar contoh darah. Mereka juga akan menumpukan ke atas pasukan Rusia di tengah-tengah pelbagai kebimbangan dadah di negara itu.

“Ia tidak mungkin sebahagian pemain tidak diuji sama sekali,” katanya.

Kesemua ujian Euro 2016 akan dianalisis di makmal di Chatenay-Malabry, dengan keputusan ujian darah boleh diperoleh dalam masa lima jam dan ujian air kencing sehari selepas itu.

Selain dari ujian diluar persaingan, UEFA juga akan menguji dua pemain dari setiap pasukan selepas setiap dari 51 perlawanan. Contoh akan disimpan selama empat tahun dan boleh diuji semula.

Jika seseorang pemain diuji positif dia akan menghadapi hukuman tetapi bukan pasukannya. Seluruh pasukan hanya akan menghadapi hukuman jika tiga atau lebih ramai pemain gagal ujian dadah. – dpa

ARTIKEL YANG SAMA