Pemain industri di Esszone mahu kerajaan tambah baik kawalan keselamatan

Pemain industri di Esszone mahu kerajaan tambah baik kawalan keselamatan

TAWAU, 18 Sept – Pemain industri termasuk operator pelancongan, perkapalan dan dewan perniagaan di pantai timur Sabah mahu kerajaan menambahbaik lagi kawalan keselamatan di Zon Selamat Pantai Timur Sabah (Esszone) selepas berlaku penculikan di perairan Pulau Pom Pom di Semporna, pada Sabtu lepas.

Dalam pertemuan dialog antara pemain industri kawasan Esszone hari ini,Pengerusi Gabungan Persatuan Perikanan dan Kapal Nelayan Sabah Arsani Arsat mencadangkan agar perintah berkurung yang dikuatkuasakan sehingga kini dikaji semula berikutan keberkesanan yang masih longgar.

“Apabila perintah berkurung dilaksanakan sepatutnya satu aktiviti pun tidak boleh dilakukan dalam tempoh itu…namun ketika ini masih ada kelonggaran iaitu permohonan permit dibenarkan untuk menangkap ikan,” katanya ketika sesi dialog bagi membincangkan hala tuju keselamatan perairan Esszone, di sini.

Di samping itu, menurutnya, adalah lebih baik sekiranya anggota Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dapat menjalankan rondaan dua kali dalam tempoh 24 jam di kawasan nelayan menangkap ikan.

“Ini lebih berkesan, kalau mereka buat rondaan setiap masa kami akan rasa lebih terjamin…kerana ketika ini nelayan semakin takut turut ke laut walaupun mengetahui itu sumber pendapatan mereka,” katanya lagi.

Menurutnya, ketika ini terdapat kira-kira 800 bot nelayan komersial di perairan Esszone namun daripada jumlah itu 40 peratus sudah tidak aktif menangkap ikan terutamanya bot nelayan di Kunak.

Dalam pada itu itu, Arsani turut mencadangkan agar pemasangan Sistem Pengesanan Automatik (AIS) seperti yang disarankan oleh pihak berkuasa dikaji semula berikutan kemampuan para nelayan memasang sistem tersebut. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA