Pemain Israel pulang awal

Pemain Israel pulang awal

JAKARTA, 11 Ogos – Pemain Israel yang hanya mendapat visa di saat akhir untuk bertanding di Kejohanan Badminton Dunia, di sini – di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam – menyalahkan masalah imigresen menimpanya sebagai punca pulang awal dari pertandingan itu.

Misha Zilberman yang mewakili Israel pada temasya Olimpik 2012 London tunduk kepada pemain Taiwan, Hsu Jen-hao, 21-14, 21-14, pada pusingan pertama, sekali gus menamatkan terus cabarannya.

Pemain berusia 26 tahun itu pada mulanya tidak mendapat kebenaran untuk memasuki negara ini hingga terkandas di Singapura, ketika sedang dalam perjalanan menyertai kejohanan.

Indonesia adalah negara paling ramai penduduk Islam di dunia, manakala negara Yahudi itu tidak memiliki hubungan diplomatik yang sekali gus menyukarkan ia memasuki negara di Asia Tenggara itu.

Namun, dia mendapat visa pada saat akhir selepas Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) campur tangan. Badan induk itu mengesahkan Setiausaha Agungnya, Thomas Lund terbang ke Singapura bagi membantu pemain itu.

“Saya sangat kecewa kerana tidak dapat beraksi sepenuhnya dalam pertandingan ini kerana tidak menjalani sebarang latihan sepanjang lima hari lalu atau menyentuh sebarang bulu tangkis,” katanya. – AFP