Pemain ke-180 dunia menang PGA

Pemain ke-180 dunia menang PGA

GAINESVILLE, AS, 3 Ogos (AFP) – Pemain golf AS, Troy Merritt melakukan pukulan empat bawah par 67 yang dilengkapkan dengan birdie pada jarak 10.6 meter untuk menjuarai kejohanan Quicken Loans National, di sini, semalam.

Ia gelaran jelajah PGA pertama buat pemain kurang dikenali berusia 29 tahun itu yang berjaya menafikan saingan sengit daripada bintang golf AS, Rickie Fowler dan jaguh Sweden, David Lingmerth di pusingan terakhir.

Selepas memecahkan rekod lapangan, 61 pada Sabtu, Merritt menamatkan saingan 72 lubang di Kelab Golf Robert Trent Jones dengan catatan keseluruhan 18 bawah par 266 dengan kelebihan tiga pukulan ke atas Fowler yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua. Lingmerth pula ketiga selepas melakukan 270.

“Saya benar-benar melakukan pukulan yang baik,” kata Merritt.

“Bertarung sehingga ke penghujungnya. Tahniah kepada Rickie. Ia pertarungan yang hebat bersama pemain yang hebat sehingga penghujung kejohanan.”

Troy Merritt memegang trofi kejohanan Quicken Loans National. – AFP
Troy Merritt memegang trofi kejohanan Quicken Loans National. – AFP

Jaguh England, Justin Rose yang juga juara pada 2013 menamatkan saingan di kedudukan keempat selepas melakukan 272, diikuti pemain New Zealand, Danny Lee, Carl Pettersson (Sweden) dan trio AS, Bill Haas, Justin Thomas serta Jason Bohn. Pemain Jepun, Ryo Ishikawa pula ketinggalan satu pukulan di kedudukan ke-10.

Menghuni ranking ke-180 dunia, Merritt gagal melepasi pusingan cut dalam lima kejohanan sebelum ini dengan keputusan terbaik di Jelajah PGA ialah selaku naib juara di Memphis, tahun lalu selain berjaya melakukan pukulan rekod lapangan 61 di Heritage pada April.

Lingmerth dalam pada itu menjuarai Jelajah PGA pertamanya pada Jun lalu di Memorial manakala Fowler memenangi Kejuaraan Pemain-Pemain pada Mei dan Terbuka Scotland, bulan lalu.

Begitupun, kedua-duanya melakukan dua bogey sebelum lubang kesembilan di National dengan Merritt hanya melakukan sekali sebelum melakukan birdie pada lubang ke-16 dan 18 untuk melakar kemenangan.

ARTIKEL YANG SAMA