Pemain kriket India didenda AS$300, selfie bersama singa

Pemain kriket India didenda AS$300, selfie bersama singa

AHMEDABAD, India, 10 Ogos – Pemain kriket India, Ravindra Jadeja telah didenda sebanyak AS$300 kerana mengambil gambar selfie bersama singa Asia terancam di barat negara itu meskipun sudah dilarang untuk mengambil foto seumpamanya, kata para pegawai kanan perhutanan hari ini.

Para pegawai telah mengarahkan siasatan pada Jun selepas foto-foto Jadeja bergambar di hadapan singa-singa semasa safari di hutan Gir, telah tersebar meluas dalam media sosial.

“Kami telah memulakan penyiasatan dan memanggil Jadeja bagi membuat kenyataan,” kata ketua pemuliharaan hutan, A.P. Singh di negeri Gujarat memberitahu AFP.

“Namun sejak dia tidak ada masa, ayah mertuanya, Hardevsinh Solanki memberi kenyatan bertulis bagi pihaknya dan membayar denda sekitar 20,000 rupee (AS$300), ujarnya.

Dalam satu foto dalam Instagram, pemain itu dilihat tersenyum dan menunjuk pada kucing besar yang berehat di belakangnya dengan kapsyen ‘gambar sekeluarga, meluangkan masa di Sasan (Gir).”

Gambar selfie lain Jadeja dan isterinya ketika seekor singa di belakang mereka, sedang memandang ke arah mereka.

Pemain berusia 27 tahun itu pada masa ini dalam jelajah bersama pasukan India di West Indies.

Gambar-gambar itu diambil hanya beberapa hari selepas jabatan perhutanan Gujarat menasihati para pelancong dan penduduk tempatan daripada mengambil gambar selfie bersama singa, berikutan beberapa siri serangan yang mana penduduk kampung telah terkorban atau cedera diterkam kucing besar itu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA