Pemain Leicester City wajar dapat gelaran kesatria

Pemain Leicester City wajar dapat gelaran kesatria

LONDON, 5 Mei (Agensi) – Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) Inggeris, Gordon Taylor menggesa pihak kerajaan untuk menganugerahkan semua pemain Leicester City dengan gelaran kesatria susulan kejayaan mereka menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini.

Taylor yang menghabiskan 50 tahun sebagai pemain dan pemimpin persatuan itu menyifatkan apa yang dilakar skuad kendalian Claudio Ranieri itu sebagai sesuatu yang melangkaui jangkaan dalam sukan bola sepak.

Hanya pemain kelahiran Britain layak menerima gelaran penuh ‘Sir’ dan antaranya termasuk Jamie Vardy, Danny Drinkwater, Marc Albrighton dan Danny Simpson. Bagaimanapun, pemain luar boleh dianugerahkan dengan gelaran kesatria kehormat.

“Ia melangkaui sukan bola sepak dengan apa yang mereka lakukan. Ia belum dapat dilihat sama ada Kabinet akan meletakkan mereka dalam senarai penerima anugerah tetapi saya harap mereka melakukannya.

“Ini adalah pencapaian yang sangat luar biasa pernah saya lihat sepanjang hidup saya. Leicester membuktikan sukan dan bola sepak adalah sangat penting dalam negara ini, mereka memberi harapan kepada pasukan yang fikir mereka tidak boleh mencapai kejayaan,” kata Gordon.

Keputusan untuk memberi anugerah itu terletak di tangan Ratu Britain tetapi ia hadir menerusi cadangan daripada Setiausaha Negara bagi pertahanan dan Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Luar dan Komanwel.

ARTIKEL YANG SAMA