Pemain Malaysia belum mampu tewaskan Chong Wei

Pemain Malaysia belum mampu tewaskan Chong Wei

GEORGETOWN, 24 Jan – Jaguh perseorangan badminton Malaysia, Lee Chong Wei membuktikan betapa belum ada mana-mana pemain Malaysia yang mampu menewaskan dirinya sehingga kini.

Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang menjadi lawan dalam aksi final Grand Prix (GP) Emas Malaysia Masters, sebentar tadi, turut menjadi mangsanya walaupun pemain itu cuba memberikan cabaran sengit. Chong Wei muncul juara apabila menang 21-18, 21-11 untuk menjadi juara buat kali kelima Malaysia Masters – sesuatu yang istimewa kerana memenangi kejuaraan itu di negeri tempat dia membesar buat kali pertama.

Sebelum ini, bekas pemain nombor satu dunia itu muncul juara pada 2009, 2010, 2011 dan 2012.

Sementara itu, bagi Iskandar pencapaian melangkah ke pentas final GP Emas buat kali pertama pasti sesuatu yang paling membanggakan terutama dia melakar kejutan menewaskan tiga pemain pilihan sepanjang laluan ke final.

Pemain berusia 25 tahun itu menewaskan pemain ke-12 dunia, Son Wan Ho dari Korea Selatan di pusingan pertama, diikuti pemain Hong Kong yang menghuni tangga ke-18 dunia, Ng Ka Long di suku akhir, sebelum menundukkan pemain nombor sembilan dunia, K Srikanth dari India dalam aksi separuh akhir, semalam. – BH

ARTIKEL YANG SAMA