Pemain Man United perlu bersatu – Van Gaal

Pemain Man United perlu bersatu – Van Gaal

LONDON, 22 Dis (Agensi) – Louis van Gaal memberikan ucapan menyentuh perasaan kepada pemain Manchester United dan kakitangan kelab itu apabila menuntut mereka kekal bersatu dalam usahanya menyelamatkan jawatannya sebagai pengurus The Red Devils.

Pengendali kelahiran Belanda itu menerima tepukan daripada hampir 200 orang yang hadir pada majlis makan tengah hari sempena sambutan Krismas di pusat latihan kelab itu di Carrington, semalam.

“Kita adalah Manchester United dan kita akan bersaing. Namun, kita perlu bersatu,” kata Van Gaal menerusi ucapannya pada majlis itu.

Van Gaal ketika ini berada dalam keadaan tertekan selepas gagal mencatat kemenangan dalam enam perlawanan selain tewas tiga perlawanan berturut-turut termasuk tunduk kepada Norwich City 2-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.

Pemilik United dari Amerika Syarikat, keluarga Glazer dan Naib Pengerusi Eksekutif, Ed Woodward difahamkan melakukan perubahan dengan menghubungi wakil Jose Mourinho yang dipecat Chelsea, minggu lalu bagi membincangkan mengenai kemungkinan dia mengambil alih tempat Van Gaal.

Mourinho sebelum ini menegaskan dia bersedia untuk kembali bertugas serta merta selepas dipecat.

Malah, sumber rapat United memaklumkan kelab berkenaan sudah memberitahu ejen Mourinho, Jorge Mendes agar pengendali kelahiran Portugal itu tidak menerima sebarang tawaran daripada kelab lain melainkan dia ke Old Trafford.

Mendes adalah individu yang melakukan rundingan bersama Alex Ferguson dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif United, David Gill ketika membawa masuk pemain seperti Cristiano Ronaldo, Nani, Anderson, Bebe dan David de Gea ke Old Trafford.

ARTIKEL YANG SAMA