Pemain muda bertembung

Pemain muda bertembung

MIAMI, 1 April (Reuters) – Kei Nishikori berjaya mengekang serangan awal dan menyelamatkan lima mata penamat sebelum menang ke atas pemain Perancis, Gael Monfils 4-6, 6-3, 7-6(3) dalam pusingan suku akhir di Terbuka Miami, kelmarin.

Pemain nombor satu Jepun itu akan berdepan pemain pilihan ke-24 Nick Kyrgios dalam pusingan separuh akhir selepas pemain Australia itu mengecewakan pemain pilihan ke-12 dari Kanada, Milos Raonic 6-4, 7-6(4).

Nishikori kelihatan mudah mengawal perlawanan apabila berada di depan 4-2 pada set terakhir namun pukulan forehandnya terlepas sasaran membuatkannya dia ketinggalan 4-5 0-40 pada servisnya sebelum berjaya bangkit semula.

Dia menyelamatkan empat mata penamat pada permainan ke-10, dan kelima pada permainan ke-12, sebelum berada di depan 6-3 pada pusingan tiebreak apabila Monfils mula melakukan beberapa kesilapan, Nishikori kemudian menyudahkan perlawanan dengan pukulan forehand crosscourt.

“Apabila saya ketinggalan 4-5 dan 0-40, Saya fikir saya hampir mengalah pada perlawanan itu,” Nishikori, 26, memberitahu ESPN pada temu bual tepi gelanggang selepas pertembungan epik di antara dua pemain paling cergas di ATP World Tour yang berkesudahan dalam jangka masa dua jam setengah.

Kei Nishikori akan berdepan dengan pemain Australia Nick Kyrgios pada perlawanan separuh akhir Terbuka Miami. – Reuters
Kei Nishikori akan berdepan dengan pemain Australia Nick Kyrgios pada perlawanan separuh akhir Terbuka Miami. – Reuters

“Namun saya cuba untuk satu mata pada satu masa dan cuba untuk fokus apa yang saya perlu lakukan, terutamanya servis saya. Dalam tiebreak, saya cuba untuk fokus kembali dan berjuang lebih keras.”

Nishikori, yang juga mara dalam pusingan empat terakhir di Miami dua tahun lalu, terpaksa bermain bersungguh-sungguh apabila Monfils memenangi set pertama.

“Saya berasa sedikit terkejut dengan cara dia bermain, terutamanya pada beberapa permainan awal,” kata Nishikori.

“Saya sebenarnya menunggu bagi permainan rali yang panjang dan tidak menjangkakan untuk bermain dengan rentak cepat lalu saya perlu melakukan beberapa penyelarasan.”

Sementara itu, Nick Kyrgios pula menewaskan lawan yang lebih menarik dalam dua set untuk mara ke empat terakhir buat pertama kali dalam acara ATP Masters 1000, mematahkan servis pada permainan pertama hingga ke jalan kemenangan.

“Saya tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Milos bermain begitu baik pada beberapa minggu kebelakangan dan satu-satunya perlawanan dia tewas adalah apabila menentang Djokovic, jadi saya tahu ia akan menjadi satu tugas yang sukar,” kata Kyrgios.

“Saya bermain begitu baik di luar sana, orang ramai yang menonton perlawanan itu sungguh bertenaga, suasana perlawanan begitu baik dan saya berasa tahap tenis juga begitu baik.

“Secara jujurnya saya tidak fikir saya berupaya untuk mematahkan servis pada perlawanan itu namun saya mematahkannya pada permainan pertama. Saya berada di luar sana dengan begitu bertenaga dan mungkin bernasib baik dan yang pasti itu membuatkan saya lebih santai dan membuatkan saya memainkan permainan saya sedikit mudah.”