Pemain negara punya kelebihan tersendiri

Pemain negara punya kelebihan tersendiri

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jun – Meskipun pemain negara mempunyai pemain yang kurang tinggi berbanding negara lain, namun cara berfikir ketika berada dalam gelanggang memberikan pasukan negara kelebihan dalam setiap perlawanan bola jaring.

Perkara tersebut ditekankan oleh Jurulatih Skuad Bola Jaring Kebangsaan, Thilaka Jinadasa ketika ditemui baru-baru ini ketika mengadakan latihan rutin bersama skuad bola jaring kebangsaan menjelang Kejohanan Bola Jaring Asia ke-10.

Menurutnya, persiapan kejohanan itu telah dijalankan sejak November 2015 lalu selepas Kejohanan Belia Asia di mana lima pemain daripada kejohanan itu dikekalkan dan kini terus mengadakan latihan secara progresif.

“Kini kita berada dalam jangka masa kejohanan dan hampir bersedia untuk kejohanan besar di Thailand nanti dan melihat kepada keperluan itu tahun ini kita menjemput Pasukan Maldives untuk membuat perlawanan persahabatan di sini bermula 10 hingga 17 Julai selepas Hari Raya Aidilfitri nanti,” ujar Thilaka kepada media.

Menurutnya lagi, meskipun selalunya beliau akan memilih Pasukan Sri Lanka untuk menjadi lawan latihan, namun kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan pasukan tersebut tidak dapat didatangkan.

Skuad bola jaring negara mengadakan latihan menjelang Kejohanan Bola Jaring Asia ke-10.
Skuad bola jaring negara mengadakan latihan menjelang Kejohanan Bola Jaring Asia ke-10.

“Satu sebab lain kenapa memilih Pasukan Maldives adalah kerana Pasukan Sri Lanka akan berada dalam kumpulan yang sama dengan Brunei Darussalam dalam kejohanan yang bakal berlangsung akhir Julai dan awal Ogos itu nanti,” tegasnya lagi.

Thilaka yang pernah melatih Pasukan Maldives mempunyai hubungan baik bersama persatuan tersebut, di mana ia dianggap sebagai satu pendedahan yang baik meskipun mereka terpaksa datang menggunakan dana sendiri dan pihak persatuan di sini akan menyediakan penginapan, kenderaan dan kebajikan di sini.

“Perlawanan itu dihasratkan akan dapat menguji kemampuan dan mengukur kebolehan pasukan kebangsaan selain menjadi platform menaikkan motivasi pemain untuk terus cergas dengan corak permainan pantas yang biasa diamalkan,” ujar Thilaka lagi.

Beliau menambah, cabaran terbesar dalam kejohanan itu nanti adalah Malaysia yang sememangnya mempunyai barisan pemain yang kuat dan beliau menegaskan bahawa pasukan negara perlu menunjukkan kebolehan yang ada kerana dipercayai pemain negara kini menunjukkan kematangan dalam kejohanan antarabangsa.

Mengulas mengenai jelajah Kota Kinabalu beberapa bulan lalu, menurutnya ia satu platform percubaan gabungan pemain kerana padanya bola jaring adalah permainan yang banyak menggunakan pemikiran dan tindak balas proaktif serta permainan berpasukan ekoran posisi.

Thilaka Jinadasa ketika ditemui baru-baru ini.
Thilaka Jinadasa ketika ditemui baru-baru ini.

“Itulah fokus jelajah berkenaan dan dari sana saya dapat melihat beberapa aspek yang perlu diambil kira, antaranya pertahanan dan pertukaran penjaring juga diberikan tumpuan dan melalui post-mortem setelah selesai jelajah berkenaan baru-baru ini,” ujarnya lagi.

Beliau sudah mengenal pasti apa yang perlu diperbaiki dan kini sudah menetapkan pemain utama dan tinggal pemain lain akan bersedia untuk bermain pada setiap perlawanan dan bersedia baik daripada aspek fizikal dan mentaliti.

“Pemain perlu menunjukkan prestasi baik meskipun ditekan dan saya bersyukur kerana setakat ini tidak ada kes kecederaan serius dan para pemain menunjukkan prestasi yang baik, komitmen yang tinggi terutama dalam latihan sepanjang Ramadan kali ini,” tambahnya.

Beliau mengesyorkan supaya barisan ini terus dikekalkan dalam beberapa siri akan datang untuk memastikan perkembangan dan persefahaman mantap mereka bagi mendapatkan peluang untuk kejohanan serantau dan antarabangsa.

Mengulas mengenai sasaran kali ini menurutnya, pasukan bola jaring Brunei Darussalam perlu mengekalkan kedudukan gangsa atau lebih daripada itu di peringkat sukan Asia Tenggara tahun hadapan dengan sasaran melengkapkan empat lagi siri perlawanan antarabangsa untuk melengkapkan lapan perlawanan seperti yang dikehendaki badan antarabangsa untuk masuk ke senarai carta dunia.

ARTIKEL YANG SAMA