Pemain pamer prestasi terbaik

Pemain pamer prestasi terbaik

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Para pemain menunjukkan aksi dan persembahan yang memberangsangkan dan menunjukkan peningkatan apabila berjaya merapatkan jurang jaringan berbanding pertemuan terakhir pada Kejohanan Bola Jaring Asia 2014.

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Jurulatih Pasukan Bola Jaring Kebangsaan Brunei Darussalam, Thilaka Jinadasa ketika dihubungi berkaitan kekalahan pasukan negara di peringkat kumpulan dalam perlawanan terakhir menentang Sri Lanka di Thailand.

“Pemain kita berjaya mengawal keadaan dan bukan itu sahaja kita juga berjaya mengawal jumlah bolos kepada pasukan terkuat Kumpulan B iaitu Malaysia dan itu menunjukkan semangat juang dan pertahanan kita semakin baik.” Ujarnya.

Menurutnya meskipun tidak berjaya mengalahkan kedua-dua pasukan itu akan tetapi beliau sangat berpuas hati dengan komitmen dan corak permainan yang ditunjukkan oleh pemain dan akan melihat keperluan yang semestinya dibuat bagi berhadapan dengan Pasukan Chinese Taipei.

“Esok adalah perlawanan menetapkan kedudukan dalam kejohanan dan jika menang, kita akan berada di kedudukan lima. Manakala jika kalah, kita akan berada di kedudukan tujuh atau lapan meskipun perlawanan esok juga sukar bagi kita.” ujarnya.

Namun begitu beliau menegaskan Pasukan Chinese Taipei tahun ini mudah diduga kerana beberapa pemainnya adalah pemain pada peringkat belia tahun lalu dan ia memberikan peluang untuknya mengatur serangan berdasarkan rekod pertemuan apabila pasukan belia negara mengalahkan pasukan belia negara itu sebelum ini.

“Setakat ini semua pemain berada dalam keadaan baik meskipun ada kecederaan ringan namun semangat mereka untuk terus bermain masih kental dan itu yang perlu kita berikan pujian.” ujarnya lagi.

Menurutnya Pasukan Sri Lanka menggunakan kelebihan susuk badan tinggi didalam perlawanan semalam namun itu bukan sebab untuk kita beralah dan pemain kita menunjukkan sikap proaktif serta berjaya menyekat pasukan itu daripada terus membolosi jaring kita dan kita juga berpeluang menembusi pertahanan mereka.

Beliau menyeru para pemain untuk terus fokus pada perlawanan itu nanti dan tidak terikut-ikut rentak pihak lawan bagi memastikan kedudukan yang lebih selesa dalam kejohanan kali ini.

ARTIKEL YANG SAMA