Pemain ragbi terpantas sedia ke Rio

Pemain ragbi terpantas sedia ke Rio

LOS ANGELES, 26 Julai – Jika semuanya berjalan lancar untuk Carlin Isles, Sukan Olimpik Rio, Brazil bulan depan bakal menyaksikan pertembungan antara dua atlet terpantas – Isles dan Usain Bolt.

Namun Isles tidak akan bertarung di atas trek bersama-sama pelari pecut dari Jamaica itu, sebaliknya memburu emas dalam acara ragbi.

Pemain sayap itu adalah senjata utama Amerika Syarikat dalam memburu emas acara ragbi tujuh sebelah yang kembali dipertandingkan selepas 92 tahun menyepi.

Empat tahun lalu, Isles adalah pelari pecut yang menanam impian bertanding di Olimpik dengan catatan terbaik peribadi 10.12 saat dalam acara 100 meter, catatan yang mampu membawanya ke separuh akhir temasya pada tahun 2012.

Reaksi Isles ketika menjalani sesi fotografi di Pusat Latihan Olimpik di Chula Vista, California pada 21 Julai lalu untuk paparan gambar Olimpik Rio. – AFP
Reaksi Isles ketika menjalani sesi fotografi di Pusat Latihan Olimpik di Chula Vista, California pada 21 Julai lalu untuk paparan gambar Olimpik Rio. – AFP

Tetapi hakikat yang dia akan bergelut untuk menyertai kelompok elit di atas trek memaksanya mencari alternatif lain untuk menterjemahkan kepantasannya itu dalam acara lain.

Secara kebetulan, Isles meminati ragbi ketika mencari-cari rutin latihan dalam laman YouTube, dan dia tertanya-tanya sama ada kemahirannya mampu digunakan dalam sukan itu.

“Saya melihatnya dan terfikir ‘Ini nampak menarik’,” kata pemain 26 tahun itu yang terus menghantar emel kepada ketua eksekutif ragbi Amerika Syarikat (AS), Nigel Melville untuk mengetahui lebih lanjut.

“Kemudian saya rasa dia mungkin tidak akan menjawabnya. Dia tidak akan mempedulikannya. Keesokan paginya Nigel menelefon saya.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA