Pemain Sarawak dan Perak digantung lima perlawanan

Pemain Sarawak dan Perak digantung lima perlawanan

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) – Pemain Sarawak, Joseph Kalang Tie dan pemain Perak, Mohd Nor Hakim Isa, masing-masing digantung lima perlawanan kerana menyerang satu sama lain dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Negeri, Kuching 17 Okt lepas.

Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut mengenakan denda RM1,500 kepada kedua-dua pemain itu dan diberi amaran keras hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama.

Mereka didapati bersalah kerana melanggar Artikel 50.1(d) Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan ‘Menyerang pihak lawan atau individu selain daripada pegawai perlawanan’ dan Artikel 18 para 4 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan ‘Perintah keluar padang’.

Berikutan itu, Joseph bakal terlepas aksi Sarawak menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini diikuti pertemuan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 21 Nov.

Baki dua lagi penggantungan dibawa ke perlawanan rasmi pertama dan kedua seterusnya bagi Joseph iaitu dua perlawanan suku akhir sekiranya Sarawak layak sebagai wakil Kumpulan B.

Pemain tengah Sarawak itu sebelum ini menjalani penggantungan automatik ketika menentang JDT di Stadium Negeri pada 24 Okt lalu.

Sarawak kini menduduki tangga kedua Kumpulan B selepas mengumpul enam mata untuk berada di belakang JDT.