Pemain sensasi Australia tarik diri

Pemain sensasi Australia tarik diri

NEW YORK, 4 Sept – Pemain Australia, Nick Kyrgios terpaksa mengakhiri kempen Terbuka Amerika Syarikat dalam kesakitan dan tangisan apabila menarik diri daripada pusingan ketiga menentang pemain Ukraine, Illya Marchenko kerana kecederaan pinggul.

Pemain pilihan ke-14 itu mendapat rawatan selepas ketinggalan pada set kedua dan dia akhirnya menarik diri pada set ketiga selepas tidak dapat bergerak dengan baik dalam perlawanan di Stadium Arthur Ashe.

“Ia adalah sukar. Saya tidak mahu menarik diri. Ia mungkin seperti dua atau tiga kali saya sudah lakukan,” kata Kyrgios, 21, yang berhasrat untuk mara ke kelompok 16 pemain terakhir buat kali pertama di Flushing Meadows.

“Ia bukanlah mudah, sudah pasti. Saya masih percayakan permainan saya, saya masih boleh menang apabila saya rasa hebat.”

Kemenangan Marchenko 4-6, 6-4, 6-1 memberikan pemain ranking 68 dunia itu pertemuan menentang juara Grand Slam dua kali dan pilihan ketiga, Stan Wawrinka.

Terdahulu pemain Switzerland itu menewaskan pemain Britain, Dan Evans 4-6, 6-3, 6-7 (6-8), 7-6 (10-8), 6-2.

“Pinggul saya mengganggu permainan dalam dua perlawanan awal lagi dan saya melepasinya. Saya rasa ia hanya menanti masa,” kata Kyrgios. – AFP