Pemain United sokong van Gaal – Rooney

Pemain United sokong van Gaal – Rooney

LONDON, 25 Dis (AFP) – Kapten Manchester United, Wayne Rooney, mendedahkan dia dan rakan sepasukannya ‘bertarung’ untuk menyelamatkan jawatan pengurus kelab itu, Louis van Gaal.

Laporan media British melaporkan Van Gaal di ambang pemecatan selepas kelab bimbingannya mengharungi enam perlawanan tanpa sebarang kemenangan sebelum hilang sabar ketika sidang media mingguan Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam dengan mengkritik spekulasi membabitkan masa depannya.

Di sebalik segala khabar angin yang membincangkan corak latihannya sehingga membawa penentangan di bilik persalinan Old Trafford, Rooney berkata, semua pemain masih menyokong penuh pengurus itu.

“Kami bertarung untuk pengurus dan cuba untuk mendapatkan keputusan bagi mengubah perkara ini.

“Ramai orang bercakap mengenai perkara yang mereka percaya akan berlaku, apabila dalam realitinya orang menulis perkara yang mereka tidak tahu mengenai apa yang berlaku,” kata Rooney kepada Sky Sports.