Pemaju Hartanah digesa pertimbang teroka tebing barat Sibu

Pemaju Hartanah digesa pertimbang teroka tebing barat Sibu

SIBU, 4 Dis (Bernama) – Ahli Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sarawak (SHEDA) digesa mempertimbangkan meneroka potensi membangunkan sub-pusat atau perbandaran dan projek perumahan di tebing barat Sibu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh, berkata dengan tanah yang agak murah di kawasan itu, lebih banyak hartanah, terutamanya rumah mampu milik di bawah RM300,000 seunit, dapat dibina.

“Memandangkan Jambatan Upper Lanang dan Jambatan Igan bebas tol, ia akan menjadi pertimbangan yang baik bukan sahaja kepada pemaju tetapi juga pembeli hartanah untuk beralih ke tebing barat,” katanya pada perasmian Pameran Kediaman dan Hartanah SHEDA Sibu 2015 di sini hari ini.

Wong, yang juga Menteri Kewangan II Sarawak, turut mencadangkan SHEDA mempertimbangkan meneroka potensi membina China Village untuk memenuhi warga China yang kaya yang mencari rumah kedua di luar negara.

“Semasa musim sejuk, mereka yang berada di Beijing atau di bahagian timur laut negara itu akan pergi ke Pulau Hainan atau wilayah Guangxi di selatan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua tempat tersebut tidak dapat menampung jumlah penduduk yang meningkat dan mereka mencari beberapa lokasi lain.

Wong berkata Sibu akan mencatat pertumbuhan yang pesat pada lima tahun akan datang.

Beliau berkata antara projek yang akan menjadikan Sibu berkembang ialah projek University College of Technology Sarawak untuk membina pusat pendidikan antarabangsa.

ARTIKEL YANG SAMA