Pemakanan sih...

Pemakanan sihat bagi ibu hamil

PEMAKANAN yang sihat sangat penting terutama bagi ibu hamil. Namun, ada kalanya ibu hamil inginkan snek bagi mengurangkan rasa lapar yang sering mengganggu setiap masa.

Terdapat beberapa idea menarik dikongsi portal Babycenter yang boleh dicuba jika ibu hamil gemarkan pengambilan snek dengan cara sihat di samping membekalkan diri dan anak damit nutrien diperlukan.

Snek berkhasiat:

1. Trimester pertama

Dalam tempoh trimester pertama, anda mungkin tidak dapat makan hidangan dengan baik kerana masalah mabuk hamil. Jika ini berlaku, snek boleh membantu.

Jika makan sedikit dan kerap, ini sama penting dengan membuat perancangan makanan yang hendak dimakan bagi mengelakkan sajian tidak berkhasiat.

Tempoh trimester pertama tidak memerlukan lebih kalori. Bagaimanapun, anda perlukan lebih folat (bentuk asid folik dalam makanan) dan makanan tambahan asid folik.

Pemakanan yang sihat sangat penting terutama bagi ibu hamil. Namun, ada kalanya ibu hamil inginkan snek bagi mengurangkan rasa lapar yang sering mengganggu setiap masa.
Pemakanan yang sihat sangat penting terutama bagi ibu hamil. Namun, ada kalanya ibu hamil inginkan snek bagi mengurangkan rasa lapar yang sering mengganggu setiap masa.

Bagi mendapatkan snek yang kaya dengan folat, sediakan salad menggunakan daun bayam kecil dan ubi bit atau kukus asparagus yang dimakan dengan pencicah.

Makan banyak buah oren dan tembikai kantelup. Simpan roti berserat tinggi dalam peti sejuk supaya anda boleh ambil sekeping apabila memerlukannya.

Selain itu, vitamin A sangat penting bagi perkembangan organ, sistem peredaran, pernafasan dan saraf anak damit.Justeru, ibu hamil memerlukan banyak vitamin A sepanjang kehamilan.

Vitamin A daripada sumber haiwan dipanggil retinol. Telur dan keju ialah sumber yang baik. (Jangan makan hati kerana ia mengandungi retinol pada tahap yang terlalu tinggi dan boleh membahayakan anda semasa hamil.)

Vitamin A dalam tumbuh-tumbuhan diperoleh dalam bentuk karotina terutama betakarotina. Buah dan sayur berwarna oren mengandungi betakarotina.

Masukkan potongan buah mangga, pic dan betik ke dalam bijirin. Anda juga boleh membuat smoothies untuk dibawa ke tempat kerja. Boleh juga mencuba sediakan sup daripada lobak merah, labu air dan keledek.

2. Trimester kedua

Dalam trimester kedua, masih tidak perlu meningkatkan pengambilan kalori. Sebaliknya, fokus kepada mendapatkan kalsium yang cukup. Pada ketika inilah gigi dan tulang anak damit mula terbentuk.

Kehamilan tidak meningkatkan keperluan kalsium. Ibu hamil mempunyai simpanan kalsium dalam badan yang boleh memenuhi keperluan anak damit.

Bagaimanapun, ibu hamil perlu memenuhi simpanan kalsium dalam badan. Diet yang kaya dengan kalsium juga memberi kebaikan seperti mengurangkan risiko mengalami tekanan darah tinggi.

Produk tenusu (pililah yang rendah lemak sekiranya boleh) membekalkan banyak kalsium yang mudah diserap oleh badan. Yogurt ialah snek yang mudah atau minum susu pada waktu malam untuk membantu anda rasa mengantuk.

Jika tidak boleh mengambil produk tenusu, pilihlah produk soya yang diperkaya dengan kalsium. Buah tin kering dan badam yang juga mengandungi kalsium mudah dibawa ke mana-mana.

Satu lagi mineral yang pen-ting bagi tulang ialah magnesium. Justeru, makanlah snek yang kaya dengan magnesium seperti segelas susu, sebiji kentang bakar atau segenggam biji-bijian.

Magnesium juga membantu badan bekerja dengan lebih efisien di samping menukarkan makanan yang dimakan kepada tenaga dan melaraskan suhu badan.

3. Trimester ketiga

Apabila sampai ke trimester ketiga, ibu hamil memerlukan lebih tenaga, vitamin C dan tiamin (vitamin B1). Tenaga tambahan yang diperlukan hanyalah 200 kalori, tetapi daripada mengunyah sekeping coklat, fikirkan snek lain yang turut membekalkan nutrisi berbeza.

Sekeping roti bakar bijirin penuh dengan ekstrak yis dan sebiji tomato atau semangkuk sup cendawan diikuti buah oren mandarin yang lain juga bagus. Vitamin C sangat penting sepanjang kehamilan dan memainkan peranan yang penting dalam melindungi sel daripada rosak serta memastikan sistem imun badan dalam keadaan baik.

Vitamin C juga memainkan peranan dalam memastikan plasenta berkembang dan berfungsi dengan baik. Ia juga membantu lapisan dinding perut menyerap zat besi daripada makanan.

Sesetengah buah dan sayur mengandungi vitamin C yang tinggi, makanlah ia sebagai snek terutama strawberi dan kiwi, smoothie atau salad. Vitamin C boleh terhapus jika makanan dimasak terlalu lama, cubalah makan sayuran mentah. Brokoli dan bunga kubis atau lada benggala enak jika dicicah dengan sos salsa.

Amalkan pemakanan yang sihat dengan kandungan vitamin-vitamin yang diperlukan bagi setiap trimester dalam membekalkan diri dan anak damit nutrien yang diperlukan.
Amalkan pemakanan yang sihat dengan kandungan vitamin-vitamin yang diperlukan bagi setiap trimester dalam membekalkan diri dan anak damit nutrien yang diperlukan.

Tingkatkan pengambilan vitamin B dengan memakan bijiran sarapan yang diperkaya dan pilihlah yang rendah kandungan gula serta tinggi serat. Vitamin dalam kumpulan vitamin B ialah vitamin B1 (tiamin), B2 (riboflavin), B6, B12, niasin dan folat.

Keperluan bagi tiamin meningkat dalam trimester terakhir untuk membantu ibu hamil mengeluarkan tenaga daripada makanan. Kekacang, beras perang dan sayuran hijau sumber tiamin yang baik.

Snek mudah terdiri daripada sekeping roti bijian bakar dengan kacang panggang dapat membekalkan khasiat yang diperlukan. Masalah sembelit mungkin menjadi lebih teruk dalam trimester ketiga.

Ketika ini, anak damit yang semakin membesar menghimpit usus kecil ibu dan memperlahankan pergerakan makanan melalui usus. Serat dan air amat penting untuk mengurangkan sembelit. Sekurang-kurangnya, ibu hamil perlu minum 1.5 liter cecair sehari.

Pengambilan cecair diambil daripada air kosong, minuman tidak berkafein, jus atau sup, malah makanan juga. Serat pula boleh didapati dalam bijirin bijian penuh, buah dan sayur. Pilihlah nasi beras perang serta roti bijian dan pastikan makan lima hidangan buah dan sayur sehari.

Sediakan snek di rumah:

Jika inginkan makanan mudah, berkhasiat dan enak, beberapa idea menarik untuk setiap trimester juga boleh disediakan untuk dimakan ketika waktu tengah hari atau sekadar persediaan ketika lapar.

1. Trimester pertama

-Tingkatkan pengambilan folat dan serat dengan mencampurkan sebiji oren dengan poto-ngan kurma. Masukkan ke dalam bekas kedap udara lengkap dengan sudu.

-Buat sup yang kaya dengan vitamin A untuk dibawa ke tempat kerja. Tumiskan bawang dengan sesudu minyak sayuran hingga lembut, tambah enam lobak merah bersaiz sederhana yang dipotong serta setengah biji labu air.

-Tambah 750ml stok sayuran rendah lemak dan reneh selama 20 minit. Kisar dan taburkan serbuk buah pala di atasnya. Simpan dalam peti sejuk beku.

-Apabila memerlukannya, cuma panaskan dan tuang ke dalam bekas tahan panas dan siap untuk dibawa.

-Buat smoothie dengan mengisar 350 gram campuran buah seperti mangga, betik dan nanas dengan 150 mililiter (ml) hingga 200ml jus epal tanpa gula. Masukkan ke dalam bekas, sejukkan dan minum apabila mahu.

2. Trimester kedua

-Tukar biskut coklat dengan pek kecil buah tin dan aprikot yang kaya dengan kalsium dan zat besi.

-Ceduk sedikit yogurt kurang lemak ke dalam satu bekas kecil dan taburkan potongan badam dan buah-buahan kering seperti aprikot atau prun. Bawa sudu kecil dalam beg supaya anda boleh makan snek yang kaya dengan kalsium dan zat besi ini di mana-mana saja.

3. Trimester ketiga

-Bawa satu pek kecil bijirin sarapan berasaskan bran yang kaya dengan serat dan tambah susu semasa di pejabat.

-Buat salad kacang dengan mencampurkan kacang dalam tin yang ditos dan dibilas, potongan tomato, timun serta sesudu sos salad kegemaran anda. Ia kaya dengan tiamin dan serat.

-Smoothie membekalkan cecair, vitamin dan serat. Buat sendiri menggunakan buah-buahan bermusim dan jika ditambah yogurt, anda dapat kalsium dan riboflavin tambahan.

-Kisar yogurt rendah lemak dengan sebiji pisang, nektarin, buah kiwi atau segenggam raspberi. Sejukkan dan masukkan ke dalam bekas bertutup ketat untuk anda hirup dalam perjalanan ke pejabat.

ARTIKEL YANG SAMA