Pemandu bas terima padah

Pemandu bas terima padah

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Tindakan bekas pemandu bas sekolah mengajak seorang perempuan di bawah umur untuk melakukan hubungan seks, akhirnya dibalas dengan hukuman penjara tiga tahun dan tiga kali sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Azrimah binti Haji Abdul Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Zulhilmi bin Ahad berusia 32 tahun, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan hubungan seks dengan seorang perempuan berusia 15 tahun.

“Tertarik antara satu sama lain bukanlah alasan untuk tertuduh melakukan persetubuhan dengan mangsa.

“Perbuatan tertuduh merupakan kesalahan yang berat meskipun apa yang dibuat itu atas kerelaan mangsa,” tegas Majistret Azrimah.

Tambah Majistret Azrimah, mahkamah bertanggungjawab untuk melindungi gadis bawah umur (16 tahun ke bawah) daripada gangguan seksual kerana pada usia ini, mereka belum berupaya untuk memberi persetujuan untuk seks.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mengenali mangsa melalui rakan tertuduh yang juga seorang pemandu bas sekolah yang menghantar mangsa pulang ke rumah.

Sekitar Mei 2013 pada jam 12:30 tengah hari, tertuduh mengambil mangsa pulang dari sekolah dan membawanya ke sebuah rumah rehat di Kiulap dengan tujuan untuk melakukan hubungan seks dengannya.

Sekitar Disember 2013 dan pada jam yang sama, tertuduh yang berada di dalam bas telah menunggu mangsa di luar kawasan rumahnya.

Tertuduh sekali lagi melakukan persetubuhan dengan mangsa.

Pada Januari 2014, mangsa mendapati dirinya hamil dan sebaik melahirkan, laporan dibuat kepada polis.

ARTIKEL YANG SAMA