Pemandu Brunei bayar saman RM14,080

Pemandu Brunei bayar saman RM14,080

Oleh Arissa

LIMBANG, 26 Mei – Sebanyak 73 buah kenderaan Brunei yang mempunyai saman tertunggak  berjaya melunaskan kembali saman mereka dengan kutipan kompaun sebanyak RM14,080 pada hari pertama operasi Saman Tertunggak Warga Asing (Brunei) yang dijalankan di Bandar Limbang semalam.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Mohd Bukhori Saffai memberitahu pada operasi itu sebanyak 286 buah kenderaan diperiksa dalam operasi yang diketuai Ketua Bahagian Trafik Daerah, ASP Khairul Ridzuan Ahmad bersama 11 anggota dan lima anggota Simpanan Sukarelawan Polis (PVR) di jalan utama berhadapan Balai Polis Pusat Limbang.

Jelasnya 134 saman berjaya dijelaskan dengan nilai kompaun RM14,080 dan sebanyak 9,477 saman masih gagal dijelaskan dari  2010 hingga tahun lepas.

“Operasi yang diadakan semalam adalah untuk memburu pemilik kenderaan Brunei yang mempunyai saman tertunggak dan gagal dibayar untuk pelbagai kesalahan jalan raya,” katanya kepada media semalam.

Kenderaan Brunei yang diperiksa dalam operasi semalam.
Kenderaan Brunei yang diperiksa dalam operasi semalam.
Pemilik kenderaan Brunei membayar saman di kaunter trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Limbang.
Pemilik kenderaan Brunei membayar saman di kaunter trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Limbang.

Tegas beliau sekatan jalan raya itu dijalankan di hadapan Balai Polis pusat yang juga merupakan satu-satunya jalan utama bagi setiap kenderaan yang melalui bandar Limbang sama ada melalui Brunei Utara mahupun Brunei Selatan.

“Setiap kenderaan yang bernombor pendaftaran Brunei diperiksa untuk menyemak samaada mempunyai saman tertunggak atau tidak.

“Mereka yang mempunyai saman tertunggak, diminta membuat semakan lanjut dan diarahkan untuk menjelaskan saman tertunggak meliputi daerah-daerah lain selain Limbang termasuk juga dari Sabah,” ujarnya lagi.

Jelas beliau, operasi tersebut akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memburu pesalah terbabit sambil mengingatkan bahawa saman perlu dilunaskan segera bagi mengelak mereka dikenakan tindakan undang-undang.

Jelasnya, kekerapan menyemak saman penting agar tidak mengganggu perjalanan  mereka jika ditahan semasa operasi atau sekatan jalan raya yang dijalankan oleh pihaknya di daerah itu.

Dalam pada itu, Mohd Bukhori berkata lagi berdasarkan statistik yang dikeluarkan dari Bukit Aman, warga Singapura dan Brunei didapati mempunyai jumlah saman tertunggak yang paling tinggi.

ARTIKEL YANG SAMA