Pemandu cedera, bas awam terbabas langgar jentera simen

Pemandu cedera, bas awam terbabas langgar jentera simen

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Feb – Seorang pemandu bas awam mengalami kecederaan setelah bas yang dipandunya itu hilang kawalan dan terbabas ke pinggir jalan di depan Jalan Dadap Bebatik, Kilanas menghala Bandar Seri Begawan, petang tadi.

Kemalangan turut melibatkan sebuah jentera simen yang dipandu oleh warganegara asing.

Menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei, pihak mereka menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan sebuah bas dan sebuah jentera simen kira-kira pukul 1:28 petang.

Pemandu bas berkenaan, yang juga seorang warganegara asing, telah dikejarkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, manakala, para penumpang dalam bas berkenaan dilaporkan dalam keadaan selamat.

Bas awam yang terbabas ke tepi longkang di depan Jalan Dadap Bebatik, Kilanas.
Bas awam yang terbabas ke tepi longkang di depan Jalan Dadap Bebatik, Kilanas.

Punca sebenar kemalangan masih belum diketahui dan pihak polis masih menjalani siasatan ke atas insiden berkenaan.