Pemandu jentera berat maut ditindih

Pemandu jentera berat maut ditindih

KINABATANGAN, 11 Julai – Seorang pemandu jentera penggelek pemadat maut selepas ditindih jentera itu yang terbabas ke dalam parit di Jalan Ladang Kamcheong dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt A. Sahak Rahmat berkata mangsa dikenali sebagai Agustinus Palolongan Siaba, 49, warga Indonesia.

Katanya insiden berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari dan siasatan awal mendapati punca kemalangan itu adalah disebabkan bentuk jalan yang tidak rata menyebabkan jentera yang dipandu mangsa terbabas dan masuk ke dalam parit di sebelah kanan.

Mangsa ditindih jentera itu menyebabkan dia mengalami cedera parah di kaki dan perut, katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya Agustinus meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.

Beliau berkata mangsa dipercayai tidak mabuk ketika mengendalikan jentera itu, namun sampel darah tetap diambil untuk ujian alkohol dan akan dihantar ke Jabatan Kimia di Kota Kinabalu.

  1. Sahak berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama