Pemandu mabuk rempuh dinding rumah

Pemandu mabuk rempuh dinding rumah

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 April – Penghuni sebuah rumah yang sedang tidur dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat apabila sebuah kereta merempuh dinding bilik tamu rumah mereka di Kampung Wasan, Jalan Limau Manis, malam tadi.

Pemilik rumah berkenaan, Dayang Siti Sarmah binti Abdul Ghani berkata, rempuhan itu menyebabkan dinding rumah di tingkat bawah berlubang.

“Semua yang berada di rumah yang sedang tidur terkejut apabila mendengar satu dentuman kuat di bahagian bawah rumah pada pukul 11:25 malam sebelum mendapati kejadian sebenar,” beliau menceritakan mengenai kejadian itu.

Tambahnya lagi, semua penghuni rumah termasuk anak buahnya, Awang Mohd Suhaimi bin Mohd Alihan, 17, yang sedang tidur di bilik tamu mereka tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala itu, pemandu kereta salon itu pula hanya mengalami kecederaan ringan.

Beliau menceritakan bagaimana anak buahnya yang sedang tidur di bilik berkenaan terkejut apabila dinding bilik berkenaan runtuh dengan dentuman yang sangat kuat.

Kesan daripada pelanggaran yang mengakibatkan keadaan rumah tersebut rosak teruk.
Kesan daripada pelanggaran yang mengakibatkan keadaan rumah tersebut rosak teruk.
Kereta yang merempuh dinding rumah berkenaan.
Kereta yang merempuh dinding rumah berkenaan.

Apabila semua penghuni yang lain terjaga, mereka bergegas ke ruang bilik berkenaan dan mendapati Awang Mohd Suhaimi sedang menyelamatkan pemandu kereta berkenaan yang dalam keadaan mabuk.

“Syukur alhamdulillah, anak buah saya yang sedang tidur berdekatan dengan dinding yang dirempuh terselamat daripada runtuhan batu-batu dinding,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu bahawa jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan kerana harus menunggu daripada pihak kontraktor untuk membuat tafsiran.

Menurut beliau, kawasan berkenaan memang sering terjadi kemalangan, dan memohon kepada pihak Jabatan Kerja Raya untuk memasang ‘bendul’ bagi mengelakkan para pengguna jalan raya memandu laju di kawasan itu.

Pasukan Polis Diraja Brunei dalam laporannya mengenai kejadian itu menyatakan bahawa pemandu merupakan seorang warga tempatan berumur 25 tahun dan pihak mereka masih lagi membuat siasatan ke atas kejadian berkenaan.