Pemandu maut bertembung di Jalan Apas Tawau

Pemandu maut bertembung di Jalan Apas Tawau

TAWAU, 27 Dis – Seorang lelaki maut manakala dua anggota keluarganya cedera selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta lain di kilometer 19.2, Jalan Apas Parit, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Rody Mohd Zain, 36, meninggal dunia di Hospital Besar Tawau akibat kecederaan parah di bahagian kepala, kaki dan tangan manakala anaknya Rodzyan Hazwan Haziq, 3 dan adik perempuannya, Jumaatiah Mohd Zain, 29, cedera.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus dalam satu kenyataan berkata siasatan awal mendapati sebuah kereta Nissan Sunny yang dalam perjalanan ke Kampung Apas Parit cuba mengelak sebuah motosikal yang keluar dari bahu jalan sebelah kiri sebelum hilang kawalan lalu bertembung dengan kereta mangsa yang datang dari arah bertentangan. Pemandu kereta Nissan cedera di bahagian kepala dan kaki. – Bernama