Pemandu maut lori terbalik dilanggar kereta

Pemandu maut lori terbalik dilanggar kereta

KOTA KINABALU, 2 Jun (Bernama) – Seorang pemandu maut apabila lori yang dipandunya terbabas lalu terbalik selepas dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta jenis MyVi di Kilometer 10, Jalan Tuaran di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa yang terbunuh di tempat kejadian dikenali sebagai David Liwas, 42, yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Pemandu kereta berumur 24 tahun itu turut mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M.Chandra dalam kenyataannya hari ini berkata siasatan awal polis mendapati kemalangan mungkin berpunca daripada kecuaian pemandu kereta berkenaan yang dipercayai memandu laju dan mengekori rapat lori itu dari belakang sebelum melanggarnya.