Pemandu maut, treler bertembung bas

Pemandu maut, treler bertembung bas

SIBU, 3 Ogos – Seorang pemandu maut manakala 22 penumpang termasuk dua kanak-kanak selamat apabila sebuah treler bertembung dengan bas ekspres di KM79 Jalan Sibu-Bintulu, dekat sini kira-kira jam 4 pagi tadi.

Kejadian berlaku berhampiran Jambatan Selangau apabila treler yang datang dari arah Bintulu cuba mengelak lori yang diletakkan di tepi jalan.

“Treler itu terus memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuching ke Bintulu,” kata Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau.

Menurutnya, pemandu treler, Jimmy Anak Hagi, 44, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala pemandu bas, Ramlee Mail, 52, pula cedera.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Mukah untuk bedah siasat manakala mereka yang cedera juga dihantar ke hospital sama untuk rawatan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan tersebut pada jam 4:04 pagi.

Sepasukan tiga anggota dari Balai Bomba Sungai Merah dengan dibantu enam anggota dari Balai Bomba Sibu dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa dari treler itu. – Bernama