Pemandu ‘PonyPower’ maut

SYDNEY, 13 Nov – Seorang budak perempuan berusia lapan tahun terbunuh selepas dragster yang dipandunya terlibat dalam kemalangan ketika ujian pertama rasmi di bandar Australia Barat, Perth, menurut polis hari ini.

Anita Board cuba melayakkan dirinya bagi mendapatkan lesen perlumbaan junior dengan memandu dragster warna ungu miliknya “PonyPower” Sabtu lalu apabila dia merempuh perintang simen pada akhir perlumbaan, lapor media tempatan.

Khamis lalu dia baru saja menyambut ulang tahun kelapan, yang mencecah usia untuk mendapatkan lesen untuk berlumba dengan dragster 210 cc miliknya. Menurut polis dia dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal dan meninggal dunia semalam.

“Begitu tragis, budak perempuan berusia lapan tahun terlibat dalam kemalangan di Kwinana Motorplex, telah meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya,” menurut kenyataan polis.

Menurut polis mereka sedang menyiasat punca kemalangan.

Anita datang dari keluarga perlumbaan drag dan halaman Facebook keluarga itu telah memaparkan gambar-gambarnya dalam pakaian lumba di samping beberapa jenis dragster.

Ayahnya, Ian, telah menghantar mesej semalam pada halaman itu yang menyatakan ‘hati saya hancur berderai.’

Pertubuhan Kebangsaan Drag Racing Australia berkata ia akan bekerjasama dalam membantu polis untuk menyiasat kemalangan itu, sementara pemangku perdana menteri negeri Australia Barat membangkitkan kemungkinan mengenakan pengetatan baru ke atas perlumbaan junior.

“Saya berpendapat kita perlu meneliti sepenuhnya langkah keselamatan yang ada,” Roger Cook dipetik sebagai berkata oleh penyiar awam ABC. – AFP