Pemandu teksi ditegah memandu seumur hidup

Pemandu teksi ditegah memandu seumur hidup

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Julai – Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara lima bulan ke atas seorang pemandu teksi persendirian selepas mengaku bersalah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Lim Eng Bin juga ditegah daripada memandu seumur hidup oleh Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid.

Fakta kes yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamaliah binti Haji Ibrahim menyebut, tertuduh ketika itu memandu di sepanjang Jalan Stadium Negara Hassanal Bolkiah menuju ke Jalan Berakas pada 29 Jun 2014 kira-kira 6:45 petang.

Tertuduh memandu pada kelajuan 70 kilometer sejam yang mana jalan raya ketika itu dalam keadaan basah selepas hujan.

Tertuduh mengekalkan kelajuan keretanya sebaik melepasi selekoh apabila tiba-tiba terlihat sesuatu menyeberangi lintasan pejalan kaki lalu hilang kawalan kenderaannya.

Kereta tertuduh berpusing 180 darjah ke kaki lima pejalan kaki dan melanggar pagar keselamatan sebelum masuk ke parit besar.

Semasa perlanggaran itu, kenderaan tertuduh telah terlanggar wanita warga Nepal sehingga dia tercampak ke kawasan rumput.

Akibat kemalangan itu, tertuduh pengsan dan sebaik sedar, terlihat kasut dan wanita itu berbaring di atas rumput.

Tertuduh terus menghubungi talian kecemasan bomba dan polis bagaimanapun wanita itu dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman.

ARTIKEL YANG SAMA