Pemandu teksi...

Pemandu teksi merah jambu di Jordan

JORDAN – Kelihatan Nisrin Akoubeh sedang memeriksa minyak dan keadaan air di dalam enjin sebelum masuk ke teksi beliau dan menelusuri kesibukan lalu lintas di barat Amman untuk mencari para penumpang di seluruh ibu negara Jordan itu. Ibu berambut merah itu menghabiskan masa sekitar 10 jam sehari untuk mencari para penumpang dengan menggunakan teksi beliau malah pekerjaan beliau itu memang jarang berlaku apatah lagi beliau merupakan seorang wanita di Jordan. “Saya mahu memecahkan budaya malu dan membuktikan kepada orang ramai khususnya masyarakat Arab bahawa wanita juga kuat dan mampu untuk bekerja di mana-mana kawasan yang boleh dimonopoli oleh kaum lelaki. Wanita telah dibenarkan untuk memandu di negara itu untuk sekian lama, oleh itu kenapa tidak perlu untuk memandu teksi?,” tambah Nisrin kepada wartawan AFP.

Nisrin Akoubeh adalah salah satu daripada sekumpulan wanita yang mahu menukarkan teksi memandu ke dalam profesion yang boleh diterima oleh masyarakat Jordan bagi mencabar norma-norma sosial di negara itu. Janda yang berusia 31 tahun itu dan bekas seorang jururawat telah memandu sebuah kereta dan dinamakan sebagai ‘Pink Taxis’ yang dipandu oleh kaum wanita namun dikhususkan untuk penumpang-penumpang wanita.

Kebanyakan pelanggan-pelanggan beliau terdiri daripada jururawat-jururawat yang balik lewat malam, pelajar-pelajar universiti atau ibu-ibu yang menjemput anak-anak mereka pulang dari sekolah. Dengan mengenakan baju yang berwarna merah jambu dan tali leher berwarna biru, Nisrin menelusuri jalan raya yang penuh sesak di Amman namun Nsirin juga sering mengambil pelawat dari Saudi Arabia yang mana suami mereka tidak membenarkan mereka untuk menaiki teksi bersama dengan seorang lelaki. “Saya bersyukur kepada Allah kerana saya mempunyai banyak pelanggan,” tambahnya lagi kepada wartawan AFP.

Ghena Al-Asmar, seorang pelajar berusia 19 tahun yang sering menggunakan perkhidmatan teksi merah jambu itu berkata bahawa beliau berasa lebih selamat kerana menaiki sebuah teksi yang dipandu oleh kaum wanita. “Apabila saya menamatkan pembelajaran saya pada waktu malam di Universiti dan meninggalkan rumah juga pada waktu malam, saya akan menghubungi pemandu teksi ini dan lebih selesa serta selamat,” tambah Ghena kepada wartawan AFP.

Ibu berambut merah itu menghabiskan masa sekitar 10 jam sehari untuk mencari para penumpang dengan menggunakan teksi beliau malah pekerjaan beliau itu memang jarang berlaku apatah lagi beliau merupakan seorang wanita di Jordan. – AFP
Ibu berambut merah itu menghabiskan masa sekitar 10 jam sehari untuk mencari para penumpang dengan menggunakan teksi beliau malah pekerjaan beliau itu memang jarang berlaku apatah lagi beliau merupakan seorang wanita di Jordan. – AFP

“Saya fikir tidak ada apa-apa yang perlu dimalukan terutama sekali dalam profesion kerjaya sebagai seorang pemandu teksi wanita kerana ia adalah satu kerjaya yang hanya terhad kepada kaum lelaki sahaja,” kata Ghena lagi kepada wartawan. Menurut Jabatan Lalu Lintas di negara itu, Kira-kira setengah juta wanita di Jordan telah mendapat lesen memandu malah kira-kira 20 peratus daripada penduduk wanita di negara itu sangat aktif memandu di kawasan-kawasan bandar.

Kelihatan dalam cahaya yang kelam

Nisrin berkata bahawa tugas beliau sebagai seorang pemandu teksi itu telah diberikan galakan malah beliau sentiasa dipuji kerana mampu melakukan kerja-kerja yang dilakukan oleh kaum lelaki. “Kadang kala, saya juga menerima teguran yang pedas daripada masyarakat dan mengingatkan saya untuk pulang dan ini adalah kerja seorang lelaki malah saya perlu berada di dalam rumah,” tambah Nisrin kepada wartawan AFP sedih. Negara Jordan agak liberal dari segi hal-hak wanita berbanding di negara-negara yang lain di rantau tersebut seperti Arab Saudi yang tidak membenarkan kaum wanita untuk berada dalam satu kereta bersama dengan seorang lelaki. Sikap konservatif di negara itu masih lagi biasa dan sering diamalkan.

Mohammad Al-Ahmad, seorang penjawat awam berusia 50 tahun berkata bahawa membawa teksi bukan satu kerja yang sesuai untuk kaum wanita. “Kita hidup dalam masyarakat yang masih mengamalkan sikap konservatif dan di takbir oleh adat serta tradisi suku kaum. Terdapat banyak peluang pekerjaan dan profesion wanita yang boleh dilakukan sesuai dengan kebolehan mereka dan mengekalkan kedudukan mereka dalam masyarakat tanpa perlu mereka dilihat dalam cahaya yang buruk,” tambah Mohammad lagi kepada wartawan AFP.

Nisrin Akoubeh adalah salah satu daripada sekumpulan wanita yang mahu menukarkan teksi memandu ke dalam profesion yang boleh diterima oleh masyarakat Jordan bagi mencabar norma-norma sosial di negara itu. – AFP
Nisrin Akoubeh adalah salah satu daripada sekumpulan wanita yang mahu menukarkan teksi memandu ke dalam profesion yang boleh diterima oleh masyarakat Jordan bagi mencabar norma-norma sosial di negara itu. – AFP

Manakala berbeza pula dengan Eid Abu Al-Haj, ketua kumpulan pelaburan di sebuah syarikat teksi ‘Pink’ berkata bahawa beliau sangat menggalakkan penglibatan kaum wanita dalam kerjaya ini kerana ia adalah satu perkhidmatan untuk masyarakat. “Wanita lebih berhati-hati dalam pemanduan dan mengurangkan lagi risiko kemalangan jalan raya. Dengan menyediakan kereta-kereta khusus untuk wanita, kami harap untuk memberikan kaum wanita lebih selesa dan privasi yang terjaga,” tambah Eid kepada wartawan AFP.

Perkhidmatan ini telah mula dilancarkan pada 21 Mac apabila sebahagian besar dunia Arab telah mula meraikan ‘Hari Ibu’. “Kami bermula dengan hanya menggunakan lima buah teksi untuk pemandu wanita dan sekarang, kami telah mempunyai 10 buah teksi dengan 10 orang pemandu wanita yang berumur antara 30 dan 45 tahun dan kami berharap untuk terus berkembang pesat dan mampu memberikan persaingan hebat,” kata Eid kepada wartawan AFP.

Konsep seperti ini telah dicuba dan diuji di Kaherah iaitu sebuah bandar raya konservatif di mana pemandu teksi kaum wanita tidak pernah didengar sebelum ini. Nisrin berkata bahawa dia mempunyai gaji yang baik, insurans dan kesihatan yang terjamin malah keselamatan sosial dan hari cuti yang sentiasa terjaga. Oleh sebab itu, beliau memilih untuk menjadikan pemandu teksi ini sebagai satu kerjaya baru baginya.

Memandu di Amman bukanlah satu kerja yang mudah. Bandar raya ini adalah rumah kepada empat juta penduduk dan dianggarkan sekitar 1.4 juta kenderaan termasuk 11,000 teksi berlegar di kawasan bandar raya itu. “Ia memerlukan banyak penjagaan dan tumpuan terutama sekali pada waktu-waktu sibuk. Saya menikmati perbualan saya dengan para penumpang dan mendengar kisah-kisah hidup mereka serta pengalaman mereka,” kata Nisrin mengakhiri temu ramah. – AFP