Pemandu teksi Perancis sekat jalan raya

Pemandu teksi Perancis sekat jalan raya

PERANCIS, 27 Jan – Pemandu teksi Paris menyekat jalan raya utama dengan membakar tayar manakala beratus-ratus penerbangan dibatalkan ketika pengawal trafik udara menyertai kakitangan kerajaan, petugas hospital dan guru melancarkan mogok ‘Black Tuesday’.

Di lapangan terbang Orly Perancis, seorang penunjuk perasaan cedera apabila sebuah bas melalui sekatan penunjuk perasaan dengan pemandu kenderaan itu berkata dirinya ‘panik’. Polis kemudian menahan pemandu berkenaan.

Kira-kira 2,100 pemandu teksi yang turut marah apabila kewujudan pesaing seperti Uber, menyekat jalan lingkaran tengah ibu negara di persimpangan utama barat, membakar tayar dan membaling bom asap.

“Hari ini nasib kita dipertaruhkan, kita sudah bosan dengan mesyuarat dan rundingan,” kata jurucakap Persatuan Taxis de France, Ibrahima Sylla.

Seorang pemandu teksi yang sudah 20 tahun bekerja di Perancis, Rahim Edalat, berkata: “Sebelum ini, saya boleh dapat 10 hingga 12 penumpang setiap hari. Kini, ia cuma lima atau enam. Ini adalah tahun paling teruk pernah saya lihat.”

Sementara itu, 14 penunjuk perasaan ditahan di sekeliling ibu negara Perancis atas kesalahan keganasan dan membakar tayar. – AFP

Polis anti rusuhan tiba apabila pemandu teksi menyekat lalu lintas semasa demonstrasi terhadap kenderaan pengangkutan dengan pemandu (VTC) di  jalan lingkaran Porte Maillot, Perancis. – AFP
Polis anti rusuhan tiba apabila pemandu teksi menyekat lalu lintas semasa demonstrasi terhadap kenderaan pengangkutan dengan pemandu (VTC) di jalan lingkaran Porte Maillot, Perancis. – AFP