Pemandu tren Arab dilatih M’sia mula bertugas di Mekah tahun ini

Pemandu tren Arab dilatih M’sia mula bertugas di Mekah tahun ini

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Seramai 23 rakyat Arab Saudi yang dilatih di Malaysia akan memulakan khidmat sebagai pemandu tren Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) di Mekah untuk musim haji tahun ini.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berkata mereka merupakan antara 103 pemandu tren yang menerima latihan di Akademi Rel Prasarana sejak awal tahun ini.

Ia berkata mereka mengikuti kursus selama tiga bulan di Laluan Sri Petaling-Ampang yang menggunakan sistem yang hampir sama di MMMSL.

“Daripada 103 pemandu tersebut, 35 daripada mereka terlibat dalam operasi tahun pertama pada musim haji lepas. Manakala 68 pemandu lagi merupakan petugas yang akan memulakan tugas untuk kali pertama.

“Alhamdulillah mereka mempamerkan semangat kerja yang komited dalam menjaga nama baik Prasarana dan Malaysia. Malah pemandu tren dari Arab Saudi juga amat berdedikasi terhadap tugas mereka,” kata jurucakap MMMSL, Mohamad Hashim Mamot dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata kesemua pemandu tersebut menjalani latihan percubaan operasi 24 jam tanpa henti sejak awal tahun.

“Ia dilakukan sepenuhnya seperti operasi sebenar ketika jemaah menjalankan haji walaupun operasi sebenar hanyalah untuk tujuh hari bermula 7 Zulhijah (9 September). Persiapan ini dijalankan dengan rapi sejak awal tahun berdasarkan kepada jadual kerja yang ditetapkan.

“Mereka yang berkhidmat di MMMSL sekurang-kurangnya mempunyai pengalaman dan pengurusan kereta api selama lima tahun. Mereka diberi latihan teori dan praktikal oleh pakar industri kereta api dari Malaysia,” kata Mohamad Hashim.

Operasi MMMSL akan bermula 8-14 September dengan menggunakan tren 12 gerabak pada waktu puncak yang mampu memuatkan 350,000 penumpang sehari. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA