Pemantauan bacaan Al-Quran 70 Kali Khatam di Temburong

Pemantauan bacaan Al-Quran 70 Kali Khatam di Temburong

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika melakukan pemantauan Pembacaan Al-Quran 70 Kali Khatam Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung bagi Daerah Temburong.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika melakukan pemantauan Pembacaan Al-Quran 70 Kali Khatam Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung bagi Daerah Temburong.

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

TEMBURONG, 1 Jun – Pemantauan Pembacaan Al-Quran 70 Kali Khatam Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung bersempena Sambu-tan Ulang Tahun Hari Keputeraan kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-70 Tahun telah diteruskan lagi hari ini bagi Daerah Temburong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Haji Mohd ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abd. Salam; Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, Haji Idris bin Haji Mohd Ali dan Haji Muhammad Sunadi bin Haji Buntar; Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud; para pegawai kanan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya, ketua-ketua cawangan Daerah Temburong, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta para peserta bacaan 70 kali khatam.

Bagi Daerah Temburong, pembacaan 70 kali khatam disertai oleh seramai 280 orang yang terdiri daripada peserta dewasa lelaki, belia lelaki, dewasa wanita dan beliawanis ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung.

Terdahulu, majlis dimulakan selepas menunaikan solat fardu Asar berjemaah, dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran beramai-ramai secara persendirian.

Pemantauan kemudianya diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Imam Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Rataie, Haji Mohd Said bin Haji Aliamat. Pemantauan pembacaan Al-Quran ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung telah pun dilakukan sebelum ini yang mana setiap minggu (setiap Selasa malam Rabu) pemangku pegawai Daerah Temburong berserta rombongan meninjau ke masjid-masjid di Daerah Temburong bagi sama-sama hadir dan membuat pembacaan Al-Quran mengikut jadual yang telah di-susun.

Di samping itu, setiap bulan semua peserta akan berkumpul di Masjid Utama Mohammad Salleh di mana mereka sama-sama menyambung pembacaan Al-Quran.

Majlis Khatam Al-Quran 70 Kali Khatam Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Seluruh Negara me-rupakan salah satu acara tahunan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Ia antara lain bertujuan untuk memohon doa ke hadrat Allah S.W.T semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia dilanjutkan usia dan sihat wal’afiat serta kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam dengan hidayah dan petunjuk Allah S.W.T.

Selain itu, untuk menzahirkan kesyukuran rakyat dan penduduk negara ini kepada Allah S.W.T di atas limpah rahmat dan nikmatNya menjadikan Negara Brunei Darussalam, di bawah kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia, sentiasa berada dalam keadaan aman dan sejahtera, di samping mendokong hasrat titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir dan rakyat celik Al-Quran.

 

ARTIKEL YANG SAMA