Pemantauan banjir giat dijalankan

Pemantauan banjir giat dijalankan

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 2 Dis – Pemantauan sepenuh masa sedang giat dijalankan oleh Pusat Operasi Kecemasan Daerah (DEOC) di bawah Pengurusan Bencana Daerah (DDMC) Belait di tempat-tempat yang terjejas di kawasan Mukim Sukang, Daerah Belait selepas dilaporkan mengalami kejadian banjir pada 12 November lalu.

Dalam kenyataan Jabatan Daerah Belait yang dikeluarkan semasa perjumpaan bersama media, kejadian banjir tersebut adalah normal bagi penduduk yang tinggal di kawasan terjejas kerana ia berlaku hampir setiap tahun khususnya pada musim hujan atau tengkujuh ini, berdasarkan daripada laporan yang diterima daripada Pemangku Penghulu Mukim Sukang Haji Mohd Noh bin Datu Maharaja Setia Dian.

Menurut kenyataan itu lagi, laporan paras dan tahap banjir yang diterima adalah tidak mencemaskan dan tidak menjejaskan aktiviti harian para penduduk di sana.

Dalam masa yang sama, Balai Bomba Sungai Liang Cawangan Operasi B juga telah membuat pemantauan pada hari-hari berikutnya bagi pemantauan lebih mendalam lagi.

Penilaian balai bomba berkenaan mendapati bahawa pembukaan atau pengaktifan Pusat Kawalan Insiden (ICP) di kawasan yang tertentu berdekatan dengan kawasan banjir belum diperlukan buat masa ini.

Jabatan Daerah Belait ketika membuat lawatan bersama pihak Bomba Sungai Liang serta Batalion Ketiga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Lumut juga telah membuat lawatan ke Mukim Sukang dan kawasan-kawasan yang terjejas oleh banjir.

Menurut Jabatan Daerah Belait, persiapan operasi, logistik, perancangan dan pentadbiran kewangan juga telah dibincangkan dan disediakan oleh pihak berkenaan bagi mempersiapkan diri menghadapi sebarang isu yang berkaitan di antaranya seperti menyediakan jaket-jaket keselamatan bagi keperluan murid-murid dan guru-guru dari Sekolah Rendah Sukang untuk dipakai bagi keselamatan pengangkutan mereka menggunakan perahu untuk ke sekolah.

Selain itu, mereka juga membekalkan minyak enjin perahu bagi keperluan pengangkutan air, membuat persiapan bagi keperluan menghantar catuan makanan kepada penduduk dan juga persiapan menghantar keperluan perubatan kepada penduduk yang sakit di sana.

Secara ringkasnya, Jabatan Daerah Belait sangat mengambil perhatian yang berat terhadap kejadian banjir di beberapa kawasan di daerah ini khususnya di kawasan-kawasan pedalaman, menurut kenyataan itu lagi.

ARTIKEL YANG SAMA