Pemasangan gelagar disambung semula

Pemasangan gelagar disambung semula

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan kepada pengguna jalan raya terutama penduduk di kawasan Telanai, Jangsak, Katok, Gadong dan sekitarnya bahawa kerja-kerja pemasangan gelagar konkrit (concrete beam) bagi jejambat (Flyover) di persimpangan Jalan Gadong/Jalan Telanai akan disambung semula pada 24 September hingga kerja-kerja selesai.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan JKR, hari ini, kerja-kerja pemasangan berkenaan akan dilaksanakan pada waktu malam bermula jam 11:30 malam hingga 5:30 pagi.

Sehubungan itu, bagi memastikan kerja-kerja pemasangan gelagar konkrit berjalan dengan lancar dan demi memastikan keselamatan pengguna-pengguna jalan raya dan orang ramai, sebahagian lorong di Lebuh Raya Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah dari pusing keliling Katok hingga ke persimpangan empat lampu isyarat akan ditutup.

Sementara itu sebahagian Jalan Gadong dari arah Jangsak juga akan ditutup dan pengguna jalan raya akan dilencongkan ke lorong bersebelahan yang dijadikan lorong dua hala.

Jalan-jalan yang terlibat akan segera dibuka seperti sedia kala sebaik sahaja kerja-kerja selesai. Dengan ini, JKR mengingatkan kepada semua pengguna-pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan untuk memandu dengan lebih berhati-hati dan mengambil sikap bertimbang rasa.

Di samping itu, para pengguna jalan raya juga diingatkan agar mematuhi papan-papan tanda arahan yang telah disediakan demi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

JKR dalam kenyataannya turut menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya supaya akan dapat merancang perjalanan lebih awal dan dengan sedaya upaya mengelak dari melalui jalan-jalan yang terlibat dengan penutupan tersebut.

Sebarang aduan, orang ramai bolehlah menghubungi pihak jabatan ini melalui Talian Darussalam 123, Facebook Jabatan Kerja Raya, Brunei Darussalam dan e-mel pro@pwd.gov.bn