Pemasangan gelagar konkrit jejambat

Pemasangan gelagar konkrit jejambat

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan kepada orang ramai terutama kepada penduduk di kawasan Telanai, Jangsak, Katok, Gadong dan sekitarnya bahawa kerja-kerja pemasangan gelagar konkrit (concrete beam) bagi jejambat (Flyover) di persimpangan Jalan Gadong/Jalan Telanai akan bermula pada 7 September 2016 hingga 5 Oktober 2016.

JKR dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, kerja-kerja pemasangan berkenaan akan dilaksanakan pada waktu malam bermula jam 11:30 malam hingga 5:30 pagi.

Sehubungan dengan itu, bagi memastikan kerja-kerja pemasangan gelagar konkrit berjalan dengan lancar dan demi memastikan keselamatan pengguna-pengguna jalan raya dan orang ramai, sebahagian lorong di Lebuh Raya Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah dari pusing keliling Katok hingga ke persimpangan empat lampu isyarat akan ditutup.

Sementara itu sebahagian Jalan Gadong dari arah Jangsak juga akan ditutup dan pengguna jalan raya akan dilencongkan ke lorong bersebelahan yang dijadikan lorong dua hala.

Jalan-jalan yang terlibat akan segera dibuka seperti sedia kala sebaik sahaja kerja-kerja selesai.

Pengguna dan pemandu di kawasan Telanai, Jangsak, Katok, Gadong dinasihatkan agar berhati-hati semasa pemasangan gelagar konkrit dijalankan di sekitar tersebut.
Pengguna dan pemandu di kawasan Telanai, Jangsak, Katok, Gadong dinasihatkan agar berhati-hati semasa pemasangan gelagar konkrit dijalankan di sekitar tersebut.

Dengan ini, JKR mengingatkan kepada semua pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan untuk memandu dengan lebih berhati-hati dan mengambil sikap bertimbang rasa.

Di samping itu, para pengguna jalan raya juga dinasihatkan agar mematuhi papan-papan tanda arahan yang telah disediakan demi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

JKR dalam kenyataan turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya akan dapat merancang perjalanan lebih awal dan dengan sedaya upaya mengelak daripada melalui jalan-jalan yang terlibat dengan penutupan tersebut.

Sebarang aduan, orang ramai bolehlah menghubungi pihak jabatan ini melalui Talian Darussalam 123, Facebook Jabatan Kerja Raya, Brunei Darussalam dan e-mel pro@pwd.gov.bn

ARTIKEL YANG SAMA