Pemasangan pancang tajam jejas kehidupan liar

PENDUDUK kaya di kawasan kejiranan elit di Bristol, England telah memasang pancang tajam ‘anti-burung’ pada pokok-pokok yang ada di sana dalam usaha untuk melindungi kereta-kereta mewah mereka dari terkena najis burung.

Pancang tajam, yang biasanya digunakan untuk menghalang burung-burung daripada bertenggek dan bersarang di atas belebas tingkap yang juga sehaluan dengan laluan pejalan kaki awam, telah dipaku pada dua batang pokok di kawasan Clifton yang begitu eksklusif di bandar raya itu, yang juga berdekatan dengan kawasan yang kaya dengan hidupan liar iaitu Downs dan gaung Avon.

Penggunaan pancang tajam itu juga telah menarik perhatian warga tempatan dan ahli alam sekitar, di mana salah seorang pengguna Twitter memanggilnya sebagai sebuah peperangan menentang hidupan liar. Majlis Parti Kehijauan tempatan mengambarkannya sebagai tempat yang tidak dapat dihuni oleh burung. Jurucakap bandar raya Bristol, bagaimanapun, mengatakan bahawa pokok-pokok itu berada di kawasan persendirian, jadi pihak berkuasa tempatan tiada hak untuk menghalang mereka. Pancang tajam itu telah dipasangkan beberapa tahun yang lalu.

Salah seorang penduduk, yang namanya tidak mahu disiarkan, mengesahkan kepada The Guardian bahawa pancang tajam itu dipasang untuk melindungi kereta-kereta mereka daripada najis burung. “Pancang tajam itu dipasang hanya untuk melindungi kereta mereka semata-mata; tiada sebab lain.

Burung-burung sering mengotori kawasan di sana. Ia boleh mengotori sesebuah kereta itu dengan lebih teruk lagi, dan burung-burung tersebut sering berkumpul di kawasan ini. Kami sudah mencuba pelbagai kaedah untuk menakut-nakutkan burung itu, namun ianya tidak berhasil.”

Ianya telah dipaku pada dua batang pokok di kawasan Clifton yang begitu ekslusif di bandar raya itu, yang juga berdekatan dengan kawasan yang kaya dengan hidupan liar iaitu Downs dan gaung Avon.
Tujuan pemasangan pancang tajam di kawasan elit Bristol, England ini adalah untuk melindungi kereta-kereta penduduk berkenaan dari dikotori oleh najis burung. Ianya telah dipasang beberapa tahun yang lalu.

Paula O’Rourke, ahli Majlis Kehijauan yang mewakili kawasan itu, memberitahu The Guardian: “Saya sedar bahawa pemilik tanah mungkin melakukannya secara sah di atas tanah persendirian mereka. Walau bagaimanapun, saya akan terus memantau sejauh mana perkembangannya. Ia kelihatan begitu mengerikan dan memalukan apabila pokok tidak dapat didiami oleh burung-burung, demi untuk tempat letak kereta. Kadang-kadang kita terlepas pandang tentang betapa pentingnya tumbuh-tumbuhan kepada hidupan liar di bandar raya ini.”

“Alam sekitar kini berada dalam ancaman dan memerlukan bantuan daripada kita manusia. Kita semua telah melihat dalam beberapa program televisyen atau laporan terbaru dalam media yang mana memberitahu kita bahawa alam ini menghadapi kepayahan untuk bertahan hidup,” kata Jeff Knot, ketua dasar alam sekitar RSPB.

“Malah, laporan Alam Semula jadi baru-baru ini menunjukkan bahawa lebih daripada separuh semua hidupan liar di United Kingdom telah menurun semenjak 40 tahun yang lalu. Kita harus berganding bahu untuk menjadikan kampung, bandar dan bandar raya kita ini mesra alam semula jadi dan juga hidupan liar.”