Pembabitan pelbagai jabatan

Pembabitan pelbagai jabatan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Bengkel Permulaan bagi Komunikasi Kebangsaan dan Inventori Gas Rumah Hijau Kebangsaan Negara Brunei Darussalam merupakan peringkat pertama dan pengenalan bagi menyediakan Komunikasi Kebangsaan Brunei Darussalam di mana ia mempunyai skop yang meliputi pelbagai sumber dan singki gas rumah hijau di mana penyediaan komunikasi berkenaan memerlukan pembabitan daripada pelbagai jabatan.

Dalam hubungan itu, adalah amat penting bagi jabatan dan pihak-pihak yang berkenaan untuk diperkenalkan serta membiasakan diri mereka dengan konsep, proses, metodologi serta mereka yang terlibat dalam penyediaan komunikasi kebangsaan itu.

Ia akan memudahkan dan membolehkan proses penyediaan komunikasi itu berjalan dengan lebih lancar serta akan menyumbang kepada penyediaan laporan yang tepat dengan data dan maklumat yang boleh dipercayai serta memenuhi keperluan dan standard yang ditetapkan oleh Rangka Kerja Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Perubahan Iklim.

Perkara itu dijelaskan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Haji Marzuke bin Haji Mohsin ketika berucap di Perasmian Bengkel Permulaan bagi Komunikasi Kebangsaan dan Inventori Gas Rumah Hijau Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan, Kementerian Pembangunan, hari ini.

Beliau berkata lagi maklumat dan data yang diperolehi melalui kajian yang dilaksanakan dalam penyediaan inventori kebangsaan itu juga amat penting bagi perancangan serta pelaksanaan dasar dan tindakan Brunei dalam menangani perubahan iklim.

Haji Marzuke tatkala menghadiri majlis berkenaan.
Haji Marzuke tatkala menghadiri majlis berkenaan.
Haji Marzuke menyampaikan ucapan di majlis tersebut.
Haji Marzuke menyampaikan ucapan di majlis tersebut.
Dr Chaiwat menyampaikan maklumat mengenai perubahan iklim dan UNFCCC di bengkel itu.
Dr Chaiwat menyampaikan maklumat mengenai perubahan iklim dan UNFCCC di bengkel itu.

“Dengan adanya maklumat dan data asas itu, ia akan menyediakan asas bagi pemantauan dan penilaian keberkesanan langkah-langkah yang dirancang serta tindakan yang diambil untuk mengurangkan gas-gas rumah hijau,” ulas Haji Marzuke lagi.

Bengkel selama dua hari itu dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan dengan kerjasama dari Institut Penyelidikan Tenaga Kebangsaan Brunei, Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri di mana bengkel itu disertai oleh seramai kira-kira 40 orang peserta dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Bengkel itu dihasratkan menjadi platform bagi pertukaran maklumat dan untuk mempromosikan kesedaran mengenai penyediaan Komunikasi Kebangsaan termasuk Inventori Penghasilan Gas Rumah Hijau Kebangsaan dan penyerapan gas-gas rumah hijau bagi Negara Brunei Darussalam.

Bengkel dua hari itu dikendalikan oleh dua pakar dari Thailand, Dr Chaiwat Munchareon dan Dr Wasinee Wannasiri di mana semasa bengkel berkenaan, para peserta diberikan pengenalan kepada perubahan iklim dan UNFCC serta proses yang diperlukan dalam merangka Komunikasi Kebangsaan dan Inventori Kebangsaan itu.

Para peserta juga dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi memudahkan perbincangan mengenai dengan cabaran-cabaran yang dihadapi dalam pengumpulan data dan kaedah untuk mengatasinya serta pengiraan pengeluaran dan penyingkiran gas-gas rumah hijau.

ARTIKEL YANG SAMA