Pembaharuan sistem infrastruktur perlu dilakukan secara serius

Pembaharuan sistem infrastruktur perlu dilakukan secara serius

KUCHING, 8 Okt (Bernama) – Pelaksanaan pembaharuan dalam sistem infrastruktur di Sarawak perlu dilakukan secara serius, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata penekanan itu perlu memandangkan ia penting untuk mencapai matlamat menjadi negara perindustrian berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Menurutnya, negeri ini juga berdepan dengan cabaran besar mengekalkan tahap pertumbuhan ekonomi yang dikecapi berikutan masalah tertentu.

“Pelaburan infrastruktur amat penting dalam pembangunan kerana ia memudahkan pergerakan barang-barang, perkhidmatan dan rakyat dengan lebih cekap,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar pada Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Sarawak ke-2 segmen Pembangunan Pembinaan dan Infrastruktur: Membina Masa Depan di sini, hari ini.

Menurut Fadillah Sarawak secara konsisten menjadi pilihan utama para pelabur berikutan pembangunannya yang pesat, kedudukan strategik dengan laluan memasuki pasaran ASEAN, dasar perniagaan yang mantap dan sumber yang asli yang banyak.